Semua Projek Perlu Sedia Laporan Bulanan Untuk Pemantauan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung sempena Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor. Foto Bernama

KUALA SELANGOR, 25 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya setiap jabatan, agensi kerajaan dan kementerian menyediakan laporan bulanan bagi setiap projek yang dilaksanakan.

Dengan langkah itu, Perdana Menteri berkata pemantauan dapat dilaksanakan sekali gus meyakinkan semua bahawa apa saja projek yang diumumkan kerajaan akan tetap dilaksanakan.

“Kalau tidak (dipantau dan disediakan laporan bulanan) apabila kita umum projek tetapi pelancarannya hanya dilaksanakan sebelum pilihan raya, jadi saya nampak tiada kesungguhan.

“Jadi saya harap, budaya ini (laporan bulanan) daripada penjawat awam ke jabatan, agensi dan kementerian serta menteri dapat dilaksanakan supaya dapat kita pantau dengan baik,” katanya ketika berucap pada penutupan Program MADANI Rakyat Zon Tengah di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung sempena Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor. Foto Bernama

Perdana Menteri memberi contoh pelaksanaan projek tebatan banjir yang mana ia mengambil masa lama untuk disiapkan.

Katanya, jika ia tidak dipantau secara bulanan, maka projek itu akan terbantut.

“Begitu juga dengan projek kecil seperti di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkaitan mutu dan produktiviti padi, kedudukan tanah dan kadar kandungan asid… jika ada laporan bulanan dan kefahaman, maka lebih mudah untuk kita mengambil tindakan.

“Ketika ini hanya apabila menteri datang, barulah ada laporan sedemikian diberikan atau kena tunggu laporan enam bulan sekali,” katanya.

Beliau mendedahkan, kerana tiadanya laporan bulanan menyebabkan ada kes yang berpuluh tahun tidak dapat diselesaikan.

“Ada satu kes mengenai tanah bagi pembangunan klinik, dengan adanya pemantauan baru diketahui ada tanah yang di ambil kerajaan 40 tahun lalu untuk pembangunan klinik tetapi sampai sekarang tidak dibangunkan

“Memang sesetengah kes ada alasan munasabah diberikan, macam tanah itu tanah gambut tidak sesuai bagi pembangunan atau peruntukan peringkat awal tidak cukup.

“Jika ada pemantauan bulanan, maka kita tidak perlu tunggu sampai 40 tahun sehingga menyebabkan rakyat di bawah mengeluh,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara seumpama itu kini diteliti kembali Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menegaskan kerajaan juga sedang meningkatkan keupayaan latihan penjawat awam.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *