Jenazah Penyelam Laskar Kelas 1 Arman San Tiba Di Lapangan Terbang Tawau

Jenazah anggota penyelam TLDM yang meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi semalam, siap dibedah siasat di HSAI, Johor Bahru, hari ini.

TAWAU, 29 Ogos – Jenazah Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, 28, yang meninggal dunia ketika operasi salvaj kapal KD Pendekar, selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau di sini, sebentar tadi.

Jenazah sebelum itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru menaiki Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130, dan tiba di sini bersama isteri dan anak arwah kira-kira jam 7.06 malam.

Yang turut hadir menyambut jenazah ialah Panglima Markas Wilayah Laut (MAWILA) 2, Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris serta pegawai dan anggota TLDM dari KD Sri Tawau dan KD Sri Sandakan.

Penyelam TLDM Maut Semasa Operasi Selamatkan Bangkai KD Pendekar

Sebaik tiba, jenazah Allahyarham disambut dengan istiadat ketenteraan oleh sembilan anggota TLDM secara perbarisan mengiringi jenazah.

Jenazah kemudiannya dibawa menaiki kereta jenazah untuk dibawa ke Kampung halamannya di Lahad Datu dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan, lewat malam ini.

Semalam, Arman San dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) itu dilaporkan meninggal dunia ketika operasi salvaj ke atas KD Pendekar.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *