Jenazah Almarhum Ismail Haniyeh Akan Disemadi Di Doha

Anggota Hamas membacakan doa ketika menerima jasad Ismail Haniyeh di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha. Foto Reuters

DOHA, 2 Ogos – Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang mati dibunuh dalam serangan oleh Israel di Tehran, Iran pada Rabu akan disemadi di Doha, Qatar hari ini.

Jenazahnya itu diterbangkan dari Tehran ke Doha selepas Republik Islam Iran selesai mengadakan upacara penghormatan terakhir.

Terdahulu jasad Ismail bersama pengawal keselamatannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi upacara pengebumian.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei ketika memimpin solat jenazah Allahyarham Ismail Haniyeh di Tehran pada Khamis. Foto AP

Iran yang berkabung selama tiga hari sehingga hari ini berikutan kematian Ismail, mengadakan acara penghormatan terakhir buat pemimpin tertinggi Hamas itu pada Khamis.

Ribuan hadir di majlis berkenaan, di mana ia turut disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen di Iran dan Jordan.

Hamas sebelum ini mengesahkan Ismail dan pengawal keselamatannya terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu oleh tentera Zionis di kediamannya di Tehran pada Rabu.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei memimpin solat jenazah Ketua Biro Politik Hamas Almarhum Ismail Haniyeh di Dataran Azadi, Tehran. Foto IRNA

Ismail, 62, berada di Iran bagi menghadiri acara angkat sumpah Presiden Iran yang baharu di Tehran, sehari sebelum itu.

Pemimpin-pemimpin dunia termasuk Malaysia, Iran dan Turkiye mengecam keras tindakan Israel yang didakwa telah melanggar undang-undang antarabangsa.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *