Paris 2024: Impian Swiatek Rangkul Emas Pertama Olimpik Musnah

Kekalahan Swiatek di tangan Zheng bermakna lebur impian jutaan rakyat Poland melihat emas pertama dari tenis terlepas begitu sahaja. Foto AFP
PARIS, 1 Ogos – Zheng Qinwen menamatkan rentetan 25 perlawanan tanpa kalah dilakar pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek di Roland Garros, hari ini, sekali gus muncul pemain China pertama mara ke final kategori perseorangan tenis Sukan Olimpik.
Persaingan kategori lelaki pula semakin sengit apabila Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz menyasarkan slot ke separuh akhir.
Zheng yang berada di ranking ketujuh dunia menang 6-2, 7-5 dan akan berdepan pemenang perlawanan antara pemain Croatia, Donna Vekic atau Anna Karolina Schmiedlova dari Slovakia bagi merebut pingat emas.
“Saya rasa lebih daripada gembira – gembira tidak cukup untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini,” kata Zheng, yang bermain perlawanan tiga jam berturut-turut sebelum mara ke separuh akhir.
“Jika anda meminta saya bermain tiga jam lagi untuk negara saya, sudah pasti saya sanggup.
“Ia adalah perlawanan menakjubkan. Bukan mudah untuk menewaskan Iga kerana ini adalah kejohanan penting buatnya.”
Swiatek yang muncul juara empat kali Terbuka Perancis di Roland Garros, hadir bagi perlawanan di Court Philippe Chatrier dengan reputasi tidak tewas di gelanggang tanah liat di Paris sejak 2021.
Malah, pemain berusia 23 tahun itu menang semua enam perlawanan dengan Zheng sebelum ini.
Bagaimanapun, dia disingkirkan finalis Terbuka Australia berusia 21 tahun itu yang cemerlang sejak set pertama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


