Jangan Lagi Ada Korban Akibat Kecuaian Manusia

Para mahasiswa UPSI yang terselamat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak masih trauma dengan insiden yang meragut rakan sekuliah mereka pada 9 Jun 2025.

MINDA NORAINI NORDIN, 11 Jun – Belum pun hilang kesedihan kita dengan berita sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori muatan batu pada 13 Mei lalu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Perak, kini satu lagi kemalangan ngeri melibatkan kehilangan nyawa yang menyentap serta menyentuh jiwa rakyat Malaysia.

Kali ini nahas juga berlaku di Perak iaitu di Jalanraya Timur Barat (JRTB), Bainun yang melibatkan sebuah bas persiaran dengan sebuah kereta di mana telah mengorbankan 15 nyawa yang terdiri daripada pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim dari Jertih, Terengganu selepas percutian perayaan Aidiladha.

Bas yang membawa 42 pelajar UPSI itu terbalik dan merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding awal pagi (Isnin).

Keadaan bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI serta pemandu dan kelindan di Jalan Raya Timur-Barat dekat Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun 2025.

Keseluruhan mangsa yang terlibat dalam kemalangan yang mengejutkan itu ialah 48 orang termasuk 13 meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua lagi mangsa meninggal di hospital.

Pemandu bas yang berusia 40 tahun dan pembantunya berusia 54 tahun disahkan cedera dalam kejadian tersebut.

Turut cedera pemandu dan penumpang MPV terbabit iaitu sepasang suami isteri berusia 37 tahun dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang lelaki yang berusia enam dan tiga tahun.

Berdasarkan laporan awal dan rakaman papan pemuka (dashcam) yang tersebar luas, kemalangan itu dilihat dan dikatakan `berpunca daripada bas yang dipandu laju di laluan yang memang diketahui banyak selekoh‘ yang pastinya memerlukan pemanduan yang cermat serta berhati-hati.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdukacita dengan nahas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

BERITA PALING HANGAT

Berikutan tularnya rakaman dashcam tersebut menjadikan kes kemalangan tersebut bukan sahaja amat menyedihkan tetapi juga menjadi berita paling hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak khasnya kalangan keluarga serta mereka yang mengenali mangsa.

Seperti yang dilaporkan dalam berita-berita media tempatan – pemandu bas yang masih dirawat di hospital mendakwa kenderaan yang dipandunya bergerak laju disebabkan sistem brek mengalami kerosakan bermula kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian.

Sementera itu, dapatan daripada pihak polis pula kemudiannya membuatkan kita lagi sedih kerana pemandu bas berkenaan didapati memiliki 18 saman kesalahan jalan raya dengan 13 daripadanya adalah berkaitan kesalahan memandu laju’.

Sebahagian barangan peribadi yang ditemui milik pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pada 9 Jun 2025.

HATI BAGAI DIHIRIS BELATI TAJAM

Aduhai ..penulis yang juga seorang ibu walaupun tidak mengenali mangsa-mangsa yang maut merasa hati bagai dihiris belati tajam. Semakin banyak berita dibaca di sebalik nahas itu berderai air mata.

Soalnya, bagaimanakah pemandu yang memiliki rekod seburuk itu boleh dibenarkan membawa sebuah kenderaan yang penumpangnya adalah nyawa-nyawa manusia?

Tidakkah sepatutnya pemandu seperti itu seharusnya tidak dibenarkan langsung memiliki lesen memandu?

Sekarang ini pelbagai agensi penguatkuasa mula mengeluarkan kenyataan termasuk syarikat bas terbabit dikatakan akan diberikan surat tunjuk sebab?

Para mahasiswa UPSI yang terselamat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak masih trauma dengan insiden yang meragut rakan sekuliah mereka pada 9 Jun 2025.

Soalnya, bagaimana kita mahu mengelak daripada mendengar lagi berita-berita kemalangan ngeri yang mengorbankan banyak jiwa itu daripada terus berlaku?

Tambahan lagi dalam kemalangan yang menyebabkan kematian 15 penuntut UPSI itu, ia adalah kehilangan permata yang bakal menabur jasa kepada anak bangsa serta aset negara.

Kesedihan keluarga-keluarga mangsa yang kehilangan nyawa tersebut tentulah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Dalam hal ini, adalah diharapkan semua pihak berkaitan memikirkan dengan lebih serius jalan penyelesaian jangka panjang agar kemalangan-kemalangan ngeri yang menyebabkan kehilangan banyak jiwa dapat segera dielakkan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) bersama Fahmi (kiri) dan Alexander pada sidang media mingguan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada 11 Jun 2025.

Ia bukan sahaja perlunya pemantauan lebih ketat terhadap kenderaan-kenderaan penumpang supaya sentiasa dalam keadaan baik, bahkan juga harus melibatkan aspek penguatkuasaan, syarat pengambilan pemandu, hukuman lebih berat kepada pemandu yang menyebabkan kemalangan, keadaan jalan raya, pemasangam kamera serta lampu di kawasan-kawasan tertentu dan sebagainya.

Sudah sampai masanya tindakan yang menyeluruh harus dilakukan bagi memastikan kemalangan yang mengorbankan banyak jiwa tidak terus berlaku.

Apa yang paling dibimbangi, tanpa penyelesaian menyeluruh, kemalangan ngeri akan terus berlaku, ulang berulang dan bakal meragut lebih banyak nyawa.

Bertidak pantaslah wahai pihak-pihak berwajib. Jangan lagi ada korban akibat kecuaian manusia.

– Oleh Noraini Nordin

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *