JANGAN KETAWA – Tiada Pembalakan Aktif Di Hutan Simpan Gunung Inas

KUALA LUMPUR, 5 Jul – Laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, semalam.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata sebaliknya terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

Tujuan pembangunan ladang hutan itu adalah bagi penanaman semula, yang setakat ini membabitkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.


“JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak akibat aktiviti pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri.

“Jadi kita mahu betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa berlakunya pembalakan aktif yang menjadi punca berlakunya kepala air di sungai (Sungai Kupang) itu,” katanya.

Banjir lumpur di Baling semalam mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.


Penduduk sekitar mendakwa beberapa kawasan di kawasan berkenaan dibersihkan terlebih dahulu sebelum diusahakan dengan beberapa tanaman buah-buahan.

Keperluan menanam semula anak pokok balak di kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar Hutan Simpan Gunung Inas di sini, dipercayai tidak dipenuhi apabila ditukarkan kepada tanaman durian, khususnya baka Musang King.

Penanaman benih durian itu dipercayai dijalankan pihak tertentu, selepas pembalakan di kawasan berkenaan selesai sejak lebih setahun lalu, ketika itu pada tahun 2018.

Keadaan itu menyaksikan tanaman durian kini meliputi empat kompartmen hutan simpan iaitu Enam, Tujuh, Lapan dan Sembilan, yang masing-masing seluas 300 hektar.

Tinjauan ketika itu mendapati, pekerja ladang durian yang terdiri daripada warga asing, yang menggunakan pacuan empat roda melalui dua laluan ke kawasan puncak gunung berkenaan iaitu jalan air terjun Lata Chelak dan laluan Bukit Hijau.

Kesan gondolan hutan sehingga ke puncak gunung yang bersempadan dalam tiga daerah iaitu Baling, Kulim dan Pengkalan Hulu, Perak itu, dapat dilihat jelas dari arah Jalan Kupang-Gerik.

Lebih malang, kesan pembalakan dan gondolan hutan simpan itu membuatkan sungai yang menjadi sumber air graviti 3,000 penduduk Kampung Iboi musnah sama sekali apabila bertukar keruh sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Projek Musang King, Malik Arshad, berkata pihaknya tidak menolak pembangunan atau projek yang mahu dilaksanakan di situ tetapi pemaju perlu lebih bertimbang rasa.

“Gondolan hutan gunung ini membawa banyak kesusahan kepada penduduk sekitarnya. Selain pencemaran sungai, bekalan air graviti kegunaan harian kami selama lebih 40 tahun termasuk untuk minuman dan masakan, tercemar hingga tidak dapat digunakan lagi.

“Mungkin ada beranggapan kami boleh mendapat air daripada paip Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun bukan semua penduduk mampu, selain bekalan sering terputus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *