Jalan Terus! Kaunter Bergerak Parlimen Miri ‘Serbu’ Tamu Lutong

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri menganjurkan kaunter khidmat bergerak yang diadakan di Tamu Lutong baru-baru ini. Foto Facebook PKR Parlimen Miri
MIRI, 18 Mei – Menyedari bahawa rakyat memerlukan perkhidmatan yang cepat dan berkesan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri menganjurkan kaunter khidmat bergerak yang diadakan di Tamu Lutong baru-baru ini.
Kaunter berkenaan memberi ruang kepada pasukan pusat khidmat mendekati masyarakat setempat serta mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat berhubung pelbagai isu harian serta aduan berkaitan isu setempat.
Hasilnya, sepanjang program tersebut berlangsung, penduduk sekitar tidak melepaskan peluang untuk berurusan secara terus bagi menyampaikan pelbagai masalah yang dialami antaranya, permohonan dan semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), penjelasan berhubung Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

Turut menjadi tumpuan ialah permohonan bagi bantuan baik pulih rumah, bantuan kebajikan pelajar sekolah serta beberapa aduan berkaitan perkhidmatan ditawarkan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man yang turut hadir pada sesi berkenaan berkata pendekatan turun padang seperti itu membolehkan isu rakyat difahami secara lebih menyeluruh berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.
Menurut beliau, banyak isu yang diterima memerlukan penjelasan secara terus, bantuan maklumat serta tindakan susulan yang lebih tersusun, khususnya melibatkan akses kepada bantuan kerajaan dan perkhidmatan asas.

“Setiap aduan yang diterima akan direkodkan dan disalurkan kepada agensi atau pihak berkaitan untuk perhatian serta tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, program berkenaan turut menjadi platform memperkukuhkan komunikasi dua hala antara rakyat dan wakil rakyat, selain memastikan isu yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua penduduk yang hadir dan berkongsi pandangan sepanjang sesi tersebut, yang disifatkan amat membantu dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Tambah beliau, Program Kaunter Bergerak itu akan terus diadakan setiap minggu di lokasi sekitar Miri bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat serta mengemukakan pertanyaan berkaitan isu di kawasan Parlimen Miri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

