GSF 2.0: Malaysia Kecam Tindakan Israel, Tuntut Pembebasan Aktivis – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan pada 18 Mei 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang memintas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menuju ke Gaza hari ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri, berkata, Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan.
Ujarnya ketika ini, lebih 100 orang aktivis, termasuk 16 dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat itu ditahan Israel.
“Tindakan kurang ajar rejim jahat ini terhadap misi bantuan kemanusiaan bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin.
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan.
“Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera dan Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban!,” tegasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
