Jadual Padat Menanti PM Anwar Pada Hari Kedua Lawatan Rasmi Ke Afrika Selatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pretoria, Afrika Selatan pada 6.38 malam waktu tempatan pada Khamis (12.38 pagi Jumaat waktu Malaysia) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) pada 20 November 2025. Foto PMO
JOHANNESBURG, 21 Nov – Hari kedua lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dimulai dengan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
Sejurus itu, Perdana Menteri turut dijadual menghadiri forum perniagaan bersama kapten-kapten industri dari seluruh Afrika Selatan.

Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Houghton, Johannesburg serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam Afrika Selatan sebelum itu.
Dalam pada itu, beliau akan turut bertemu diaspora Malaysia di sini dalam satu majlis khas meraikan peranan dan sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe.
Terdahulu, Anwar tiba di Afrika Selatan pada jam 6.38 petang waktu tempatan pada Khamis (Jumaat, 12.38 pagi waktu Malaysia) untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) setelah mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Ethiopia.

Lawatan kerja empat hari dari 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg sebagai tetamu Presiden Ramaphosa selaku pengerusi tahun ini.
Perdana Menteri diundang menghadiri sidang kemuncak G20 yang bermula 22 sehingga 23 November itu atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan Malaysia serta delegasi perniagaan.
Malaysia berada enam jam di hadapan berbanding waktu tempatan di Johannesburg.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
