Isu UEC: ‘Ini Jawapan KPT Kepada Dong Zong’

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, standard serta kualiti kemasukan lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak boleh dikompromi.
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Apa sahaja kritikan daripada Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kononnya Kerajaan MADANI mengabaikan sekolah persendirian Cina (SMPC) terhadap pembangunan negara serta melaksanakan reformasi pendidikan yang lebih inklusif dan adil, tidak benar sama sekali.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan, standard serta kualiti kemasukan lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak boleh dikompromi.
Menjawab perkara yang mendakwa syarat kemasukan ditetapkan KPT masih terlalu tinggi, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, semua syarat kemasukan ditentukan oleh Senat Universiti masing-masing tanpa campur tangan pihak luar.

“Sebenarnya kita di peringkat universiti sudah ada syarat kita. Kita sudah pun menelitinya dan semestinya bagi KPT, Senat Universiti adalah kuasa yang tertinggi, mereka yang menentukan kualiti serta standard (kemasukan).
“Yang itu kita tak boleh kompromi. Tak ada sesiapa yang boleh campur tangan,” katanya pada sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke IPTA di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azlinda berkata, setiap universiti memiliki mekanisme penilaian yang berbeza berdasarkan program yang ditawarkan termasuk syarat khas dan proses temu duga.
“Jadi ada kriteria, nanti mereka akan umum apabila permohonan dibuka dalam 30 Jun, barulah mereka lihat kalau ada anak-anak mana yang memohon, jadi mereka akan melihat syarat ditetapkan.
“Kemasukan pelajar lepasan UEC atau tahfiz tetap tertakluk kepada meritokrasi serta syarat asas (wajib) iaitu kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus Sejarah,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan laluan kemasukan kepada lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan dibuat tanpa menjejaskan integriti sistem pendidikan negara.
Mengulas dakwaan bahawa lepasan tahfiz hanya dijadikan alasan untuk membuka laluan kepada pemegang UEC, Azlinda berkata, pelbagai pihak berhak memberikan pandangan masing-masing, namun KPT melihat inisiatif itu sebagai usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada lebih ramai pelajar.
“Bagi kami, kami melihat bahawa ini adalah ruang dan peluang untuk kita buka laluan, bukan pengiktirafan, kalau aliran agama yang bersistem di bawah JAKIM dan sebagainya, mereka sistematik, mereka ada silibus dan sebagainya. Tetapi ramai lagi yang berada di sekolah pondok dan sekolah agama lain.
“Yang ini yang kita nak memberi mereka ruang untuk menyambung pengajian mereka,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


