Warga Pendidik Perlu Berjiwa Besar Depani Cabaran, Positif Terima Kritikan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Sambutan Hari Guru 2026 peringkat kebangsaan ke-55 di Ipoh, Perak pada 16 Mei 2026. Foto Yew Woo

IPOH, 16 Mei – Warga pendidik digesa berjiwa besar dalam menerima cabaran dan teguran secara positif, terutama berkaitan kepincangan serta masalah membabitkan pelajar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pendidikan tidak boleh terlepas daripada dikaitkan dengan peribadi, sahsiah, insan atau kemanusiaan dan sebarang masalah yang timbul sering dikaitkan dengan sekolah sehingga akhirnya kadang-kadang membebankan warga pendidik.

“Masalah masyarakat tentunya menyentuh anak-anak di sekolah dan tentu menimbulkan keributan. Seolah-olah ini hanya berlaku di sekolah, padahal apa yang berlaku kadang-kadang kepincangan, kebobrokan dari segi moral, itu kerana kita sebahagian daripada masyarakat.

“Saya harap guru-guru lihat ini secara positif. Kalau terbeban dengan teguran dan kritikan, sebagainya yang tidak adil, guru-guru kena terima dengan baik untuk bangkitkan dan pastikan generasi akan datang jauh lebih baik daripada kita,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55, di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anwar yang sesekali membahasakan dirinya sebagai ‘Cikgu Anwar’, berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang menyiapkan kerangka pendidikan yang bukan sahaja memfokuskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta digital, malah terus mempertahankan jati diri dan nilai murni.

“Kalau kita lihat hampir semua negara mempunyai dasar pendidikan mereka dan dinilai dari semasa ke semasa. Tapi di Malaysia, di negara Madani ini ada kelainan. Kita tidak mahu ketinggalan dari sudut teknologi baru, AI (kecerdasan buatan). Anak-anak harus dipersiapkan dengan keperluan semasa, kalau tidak kita akan ketinggalan.

“Tetapi dalam semua matlamat itu, untuk mencapai yang murni, tidak pernah kita abaikan atau remehkan kepentingan mempertahankan nilai kemanusiaan kita sebagai rakyat Malaysia dan nilai yang disebut sebagai akhlak masyarakat,” kata beliau.

Selain itu, beliau juga menekankan konsep “kecemerlangan tanpa roh” dengan menegaskan bahawa kepintaran akademik semata-mata tidak memadai jika ia terpisah daripada nilai kemanusiaan, akhlak dan keprihatinan sosial.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *