Isu 40 Peratus Sabah: Syahredzan Sekolahkan Hassan Karim

Syahredzan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang berkata, kerajaan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan kerajaan Sabah pada 13 November 2025.

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tiada niat melengah-lengahkan pelaksanaan perintah mahkamah berhubung semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah, berkait hak negeri terhadap 40% hasil persekutuan.

Pemimpin DAP itu berkata kerajaan secara jelas berniat untuk memenuhi obligasi dalam Perlembagaan dan perintah mahkamah, melalui kata-kata dan tindakan.

“Menurut perdana menteri, kerajaan tidak akan merayu dapatan mengenai hak Sabah ke atas 40% hasil yang dikutip. Maknanya, keputusan ini tidak dipertikaikan.

“Kerajaan persekutuan dan negeri masih wajib menuruti perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” menurut kenyataan.

Syahredzan menarik perhatian kepada kenyataan perdana menteri bahawa ketua setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat setiausaha kerajaan Sabah bagi memulakan rundingan.

Justeru, ia menunjukkan kerajaan persekutuan akan melaksanakan perintah mahkamah, iaitu supaya rundingan diadakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 11 November 2025.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang berkata kerajaan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan kerajaan Sabah.

“Jika ada isu yang dikemukakan di dalam alasan penghakiman yang kerajaan persekutuan tidak setuju, maka kerajaan persekutuan perlu merayu ke Mahkamah Rayuan,” kata Hassan di Facebook.

Syahredzan bagaimanapun berhujah bahawa kerajaan berhak untuk merayu terhadap keputusan mahkamah di peringkat bicara, dan rayuan itu boleh dibuat terhadap keseluruhan keputusan atau sebahagian daripadanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 13 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

“Ini bukan perkara yang luar biasa atau luar aturan, dan sudah tentu Hassan mengetahui perkara ini,” katanya.

Syahredzan berkata kerajaan merasakan terdapat kekhilafan oleh mahkamah terutama sekali bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.

“Dapatan ini membawa implikasi besar dan membuka ruang kepada, antara lain, tindakan mahkamah seperti misfeasans semasa menjawat jawatan awam terhadap menteri-menteri persekutuan dan Sabah sejak 1974. Ini antara sebabnya kerajaan harus merayu terhadap dapatan ini.

“Dalam keadaan ini, rayuan akan terhad kepada dapatan-dapatan yang menjadi asas rayuan sahaja. Dapatan lain, dan perintah mahkamah itu sendiri, tidak termasuk sekali dalam rayuan,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *