PM Thailand, PM Kemboja Tegaskan Komitmen Cari Penyelesaian Damai – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Hun Manet dan Anutin Charnvirakul pada 13 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Peace Accord). 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah berbicara dengan Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menerusi telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara.

“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lepas.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Beliau berkata kedua-dua perdana menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.

“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi saksi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur 2025 antara Thailand dan Kemboja pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Hun Manet dan Anutin menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt lepas, disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Di bawah perjanjian damai itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan pertelingkahan dan membina hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain. – Bernama

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *