Israel Makin Biadab, Serang Palestin Guna Dron Bersenjata

BAITULMAQDIS, 21 Jul – Tentera Israel membatalkan larangan laporan penggunaan dron bersenjata negara itu, sekali gus menamatkan rahsia terbuka dengan mengakui tentera Israel memiliki dan pernah menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Rakyat Palestin sebelum ini mendakwa Israel menggunakan dron bersenjata dalam pembunuh bersasar di Gaza dan Tebing Barat, yang tidak pernah disahkan Israel kerana larangan menerbitkan berita berhubung isu berkenaan.

Selain itu, terdapat sejumlah laporan berita antarabangsa mengenai serangan dron Israel di Lubnan dan Iran, namun ia tidak pernah disahkan secara rasmi oleh Israel.

Bahagian penapisan tentera Israel, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berpandangan laporan penggunaan UAV dalam operasi tentera Israel tidak menimbulkan sebarang halangan, selepas menimbang isu berkenaan.


Israel memiliki antara armada dron terbesar di Asia Barat dan antara pengeksport teknologi dron terbesar di rantau itu, namun kebanyakan UAV yang dieksport itu tidak bersenjata.

Perang di Ukraine serta perang 2020 antara Armenia dan Azerbaijan menunjukkan kepentingan UAV peninjau tanpa senjata dan dron bersenjata dalam memusnahkan kereta kebal dan kenderaan berperisai lain.

Dron Bayraktar yang dibangunkan Turki antara yang paling berjaya, dan menjadi contoh dalam kemampuan mengubah keadaan dan kelebihan di medan perang menggunakan dron kos rendah berbanding aset berat berperisai.

April lalu, jawatankuasa belanjawan Parlimen Jerman memberi lampu hijau untuk peruntukan perolehan peluru berpandu yang akan dipasang pada armada dron Heron TP milik tentera Jerman, yang dibangunkan Industri Aeroangkasa Israel.

Sementara itu, seorang pegawai penapisan tentera Israel memaklumkan, meskipun larangan am laporan kewujudan dron bersenjata itu ditamatkan, laporan perincian teknikal atau operasi masih tertakluk pada penilaian, sebelum diluluskan untuk penerbitan.

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *