Bersatu Patut Tumpu Isu Surat Layang Daripada ‘Ramal’ PRU 16

Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada 3 September 2025. Foto Faisol Mustafa

PUTRAJAYA, 3 Sep – Adalah lebih baik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menumpukan urusan dalam parti sendiri yang masih berkecamuk daripada sibuk membuat ‘ramalan’ bilakah pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan.

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil berkata, politik dalaman Bersatu ketika ini lebih rancak dan dinamik sehingga timbul isu surat layang yang kini menjadi tatapan umum yang jelas amat memalukan.

“Saya cadangkan mereka fokus kenapa ada surat layang yang didedahkan dan politik seperti ini tidak baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini bagi mengulas kenyataan Bersatu yang menjangkakan PRU16 dan PRN di beberapa negeri bakal diadakan tahun depan.

Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Bersatu sepatutnya menumpukan perhatian kepada Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut.

“Jadi unjuran saya bagi Bersatu ialah fokus kepada Perhimpunan Agung Tahunan mereka, terlebih dahulu,” katanya.

Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ini menjadi medan penting untuk Bersatu menyemak dan menilai prestasi di lapangan.

Terdahulu, Bersatu memandang serius dakwaan penyebaran surat layang yang memburukkan Timbalan Presidennya, Hamzah Zainudin.

Ia juga dilihat satu cubaan Azmin mengalihkan perhatian daripada penyebaran surat layang itu dengan kononnya ‘meramalkan’ PRU 16 akan diadakan tahun depan.

Malah, Azmin mungkin tidak sedar kerajaan kini mempunyai 154 sokongan ahli parlimen sedangkan dia sendiri tewas di Gombak dan cuma mampu menjadi ketua pembangkang DUN Selangor selepas PRN enam negeri, Ogos 2023.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *