Imam Masjid Nyaris Maut Ditembak Untuk Solat Isyak

Kereta yang dipercayai digunakan oleh suspek yang cuba menembak Imam Shuaib Din. FOTO Sandy Police Department

SALT LAKE CITY, 25 Feb – Seorang lelaki bertopeng melepaskan beberapa das tembakan ke arah seorang pemimpin Islam di luar kediamannya di Utah, Amerika Syarikat (AS) semasa bulan suci Ramadan, menurut pihak berkuasa dan media tempatan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sasaran serangan pada petang Isnin di pinggir bandar Salt Lake City itu ialah Shuaib Din, imam yang mengetuai Pusat Islam Utah, masjid terbesar di negeri berkenaan. Beliau tidak cedera, namun kenderaannya terkena beberapa das tembakan, lapor The Salt Lake Tribune yang memetik polis.

Din memberitahu akhbar itu bahawa seorang lelaki berada di dalam sebuah kereta di luar rumahnya sebelum melepaskan tembakan ketika beliau keluar untuk menunaikan solat Isyak.

“Dia tahu rumah saya, tahu kereta saya, tahu jadual saya,” kata Din.

Din berkata beliau berbuka puasa bersama keluarganya di rumah yang terletak kira-kira dua minit dari masjid. Ketika beliau keluar dari garaj, lelaki bersenjata yang memakai topeng dan baju hud keluar dari sebuah kenderaan lalu melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.

Selepas menghubungi talian kecemasan 911, Din berkata beliau cuba mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan suspek. Lelaki bersenjata itu kemudian berpatah balik dan berada di sebelah kenderaan Din sebelum melepaskan sekurang-kurangnya lapan lagi das tembakan.

Menurut Din, peluru mengenai tempat duduk hadapan dan belakang serta cermin hadapan kenderaan. Beliau cuba mengejar suspek namun kemudian membatalkan usaha itu.

Polis memaklumkan tiada suspek ditahan setakat ini selain mengeluarkan imej kenderaan yang dipercayai milik suspek.

Peluru mengenai tempat duduk hadapan dan belakang serta cermin hadapan kenderaan. Beliau cuba mengejar suspek namun kemudian membatalkan usaha itu.

Dalam satu kenyataan, Pusat Islam Utah mengucapkan terima kasih kepada pihak penguat kuasa undang-undang dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, sambil memaklumkan langkah keselamatan dipertingkatkan akan dilaksanakan di masjid itu.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menawarkan ganjaran US$5,000 bagi maklumat yang membawa kepada penahanan dan sabitan suspek. Ia juga menggesa perlindungan polis ditingkatkan untuk Din dan komuniti Islam.

Din berkata beliau tidak tahu siapa yang melakukan serangan itu dan berpendapat ia mungkin jenayah kebencian.

“Saya benar-benar terkejut,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *