Hubungan Malaysia-China Strategik, Membanggakan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran KLSCAH di Kampung Attap, Kuala Lumpur. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 10 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata China antara negara utama yang melabur di negara ini dengan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Anwar berkata demikian ketika menyentuh mengenai hubungan kerjasama antara Malaysia-China.
“Hubungan Malaysia-China sudah sampai ke tahap strategik dan membanggakan.
“Malah Presiden, Xi Jinping dan Premier, Li Qiang serta pimpinannya sentiasa ada hubungan baik untuk kepentingan rakyat negara kita dan bersama,” kata Anwar kepada pemberita di sini.

Selain kerjasama ekonomi, Malaysia turut bekerjasama dalam aspek pendidikan dan kebudayaan yang antaranya membabitkan universiti dan syarikat besar di China.
Terdahulu ketibaan Anwar yang mengenakan kemeja batik berwarna merah jambu pada jam 11.45 pagi tadi disambut meriah, dengan kehadiran 500 tetamu yang mengenakan busana berwarna merah.
Turut mengiringi beliau adalah Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.
Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Semua tetamu kenamaan kemudian turut melakukan upacara menggaul Yee Sang.
Pada acara itu yang turut dihadiri pelbagai wakil pertubuhan bukan kerajaan pelbagai kaum, aktiviti lain turut disediakan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
