‘Hidupkan’ Malam Tahun Baharu Dengan Jauhi Maksiat

Setiap kali menjelang malam tahun baharu, pasti ada saja kegiatan mungkar dilakukan umat Islam seolah ‘lesen’ untuk melakukan maksiat tanpa mengira kesannya kepada diri, keluarga dan masyarakat.
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Malam tahun baharu sering dikaitkan dengan hiburan melampau, pergaulan bebas, pesta arak, pembaziran dan perlakuan yang semuanya bertentangan dengan ajaran Islam yang diceduk daripada budaya Barat yang sesat lagi menyesatkan.
Hakikatnya, ini bukan lambang kemajuan atau kebebasan, sebaliknya membawa kesan negatif terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Islam mengajar umatnya agar sentiasa menjaga batas syariat, memelihara maruah serta menjauhi perkara yang mendekatkan diri kepada dosa.
Oleh itu, umat Islam diseru agar menjauhi segala bentuk maksiat pada malam tahun baharu dan mengisinya dengan amalan yang bermanfaat serta diredai Allah SWT. Setiap detik masa yang dikurniakan merupakan amanah yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, bukan disia-siakan dengan perbuatan yang melalaikan dan merosakkan akhlak.

Sebaliknya, kedatangan tahun baharu wajar dijadikan ruang muhasabah diri. Umat Islam digalakkan menilai kembali perjalanan hidup sepanjang tahun yang berlalu, mengenang kesilapan serta memperbaharui azam untuk menjadi insan yang lebih baik.
Amalan seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan menghadiri majlis ilmu adalah cara terbaik untuk mengisi malam tersebut dengan keberkatan.
Paling penting, peranan ibu bapa dan pemimpin masyarakat membimbing generasi muda agar tidak terpengaruh dengan budaya hedonisme. Pendekatan nasihat yang berhikmah, contoh teladan yang baik serta sokongan persekitaran yang sihat mampu membentuk jiwa anak muda yang lebih bertanggungjawab dan berpegang teguh kepada nilai agama.

Janganlah jadikan malam tahun baharu sebagai ‘lesen’ untuk melakukan maksiat, sebaliknya peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jauhi perkara mungkar dan amalkan gaya hidup berteraskan nilai Islam kerana bukan sahaja memperoleh ketenangan jiwa, malah membina masa depan yang lebih berkat dan sejahtera.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
