Imbasan 2025: Qunut Nazilah Tutup Episod Makan Diri PN

Apakah ahli parlimen yang membaca doa Qunut Nazilah, mampu pula membaca ‘talkin’ menandakan berkuburnya Perikatan Nasional tanpa pasti siapakah yang dikuburkannya?

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Runtuhnya ‘istana’ Perikatan Nasional (PN) dengan pengunduran pimpinan tertinggi di peringkat pusat serta pimpinan di beberapa negeri semalam menutup tirai episod malang pakatan pembangkang yang pada awal tahun ini ‘yakin’ kononnya Kerajaan Perpaduan mampu dijatuhkan walau dengan apa cara sekalipun.

Tidak dapat lengan, telinga cuba dipulas seakan mereka begitu pasti usaha-usaha ‘tebuk atap’ yang pernah mereka lakukan pada 2020, mampu diulangi tetapi dengan sedikit pendekatan berbeza seperti menggunakan doa Qunut Nazilah.

Doa berkenaan yang suatu ketika dahulu dibaca dan dipolitikkan oleh pemimpin PN sebagai simbol kononnya perjuangan menentang kezaliman kini dilihat seolah-olah ‘makan diri sendiri’.

Tindakan itu merupakan langkah yang ‘bijak dan tepat’ oleh Muhyiddin dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Apa yang dibaca sepatutnya sebagai doa memohon pertolongan akhirnya menjadi cerminan kepada kegagalan, perpecahan dan krisis dalaman yang membelenggu gabungan tersebut hari ini.

Apa yang ‘dihajatkan’ kononnya mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pada himpunan ‘Turun Anwar’ akhirnya Muhyiddin Yassin pula yang ‘diturunkan’ berkuat kuasa mulai esok, tanpa sebarang alasan peletakan jawatannya setelah didesak rakan sekutuk mereka sendiri, Pas.

Maka bertebaranlah naratif di media sosial kebelakangan ini iaitu Muhyiddin diumpama seolah-olah tidak berguna, gagal, mandul dalam ‘menyegarkan’ PN dan tidak kurang juga menunding jari menyalahkannya atas kegagalan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 bulan lalu.

Sahrudin (kiri) mengikut jejak Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN Johor menerusi hantaran di Facebook pada 30 Disember 2025.

Menurut hukum, doa berkenaan dibaca ketika umat Islam berdepan musibah besar, penindasan atau ancaman terhadap keadilan daripada musuh agama. Namun apabila doa ini dijadikan perkakas menyerang parti politik, diselitkan dengan naratif kebencian dan kepentingan kuasa, maknanya menjadi dangkal dan tercemar.

Ironinya, PN yang lantang melaungkan doa ini kononnya ‘dizalimi’ Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini terpaksa bergelut dengan masalah kepimpinan, perebutan pengaruh serta hilangnya kepercayaan dalam kalangan rakyat dan ahli sendiri.

Krisis demi krisis yang menimpa PN — sama ada di peringkat negeri mahupun nasional — memperlihatkan bahawa doa bukan pengganti kepada integriti, kejujuran dan keupayaan mentadbir.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohd Hanifah mengumumkan peletakan jawatan mulai 1 Januari 2026.

Doa tidak seharusnya digunakan untuk menutup kelemahan tadbir urus atau menghalalkan serangan politik terhadap pihak lain. Apabila kuasa dikejar tanpa nilai, maka doa yang dilafazkan boleh menjadi peringatan, bukan pembelaan.

Lebih menyedihkan, eksploitasi atau istilah lebih lunak, ‘penunggang agama’ dalam politik telah memecah-belahkan masyarakat dan mencemarkan kesucian amalan ibadah.

Namun kita bersyukur majoriti rakyat semakin matang dan mampu menilai antara keikhlasan dengan kepura-puraan. Mereka sedar bahawa doa yang benar mestilah disertai akhlak yang mulia, dasar yang adil dan kepimpinan yang bertanggungjawab.

Akhirnya, apa yang berlaku kepada PN hari ini wajar dijadikan iktibar. Qunut Nazilah bukan boleh dibuat mainan sama ada sebagai senjata politik sempit atau cuba mempermainkan agama hanya memuaskan nafsu serakah segelintir pemimpin politik yang hilang arah setelah terlucut kuasa.

Iktibar daripada salah guna doa dalam agama yang diperalatkan demi kuasa, kesannya bukan sahaja memakan diri sendiri, malah merugikan rakyat dan mencalar maruah agama itu sendiri.

Berikut merupakan tulisan Dr. Rozaimi Ramle berkenaan apakah mendoakan kehancuran orang lain boleh berbalik kepada diri sendiri.

———

[Mendoakan Kehancuran Orang Lain, Bolehkah Ia Berpatah Balik Kepada Diri Sendiri?]

  1. Islam membenarkan orang yang dizalimi untuk berdoa supaya Allah mengambil tindakan kepada orang yang menzaliminya. Terdapat dalam riwayat bahawasanya Nabi sallallah alaih wasallam menyuruh kita untuk takut atau berhati-hati kepada doa orang yang dizalimi.

Rasulullah bersabda:

اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ

“Takutlah terhadap doa orang yang dizalimi”. [Riwayat al-Bukhari]

  1. Selain itu disyariatkan qunut nazilah ketika umat Islam dizalimi. Tiada masalah mendoakan musuh Islam ataupun mendoakan kehancuran kepada sang Zalim. Rasulullah pernah mendoakan agar Allah laknat seseorang.

Rasulullah berdoa:

اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا

“Ya Allah laknatlah fulan, fulan dan fulan”.

Baginda menyebut secara ta’yin iaitu spesifik nama mereka. Dalam riwayat lain sahabat menceritakan bahawa Rasulullah juga pernah doa agar Allah ambik tindakan kepada ‘Uqbah bin Abi Mu’ait, ‘Amr bin Hisyam dan ‘Utbah dan Syaibah bin Rabi’ah Ini nama-nama orang kafir yang zalim pada zaman baginda.

  1. Apabila kita lihat doa para sahabat ketika mereka dizalimi, ada yang doa secara tegas dan ada secara berlapik. Antara salah satu doa sahabat yang berlapik:

اللَّهُمَّ إنْ كَانَ عَبْدُكَ هَذَا كَاذِباً

“Ya Allah JIKA hambamu (yang fitnah aku ini) pendusta…timpakan sekian sekian”.

Kita tidak tahu adakah benar orang yang kita doa kehancurannya itu benar-benar zalim, ataupun kita yang merasakan mereka zalim namun sebaliknya. Berdoalah dalam keadaan berlapik sewaktu mendoakan agar Allah ambil tindakan jika dia benar-benar zalim.

  1. Apa-apa pun kita perlu bersederhana dalam berdoa dan jangan melampau. Jika seseorang berdoa keburukan ke atas orang lain secara zalim, dibimbangi doa itu akan kembali kepada di pendoa.

Contohnya seseorang di atas mimbar memegang mikrofon berdoa agar Allah ambil tindakan kepada fulan fulan (sambil menyebut namanya secara terbuka) sambil menyebutkan kesalahan orang itu, walhal orang itu tidaklah sebegitu.

Al-Khadimi berkata:

“الدعاء على شخص إنما يجوز على قدر استحقاقه، فإن لم يستحق أصلا، أو استحق بما دون ما دعا عليه فليس بجائز، بل قد يرد على نفس الداعي فينعكس الضرر عليه؛ لأن جزاء سيئة إنما يكون مثلها، ولا يجوز الاعتداء أكثر من مثل ما اعتدي به عليه”.

Maksudnya: “Mendoakan keburukan ke atas seseorang hanya dibenarkan menurut kadar yang memang layak baginya.

Jika dia sebenarnya tidak layak langsung (menerima doa itu), atau hanya layak pada kadar yang lebih ringan daripada apa yang didoakan, maka tidak dibenarkan berbuat demikian. Bahkan, doa itu mungkin boleh berbalik kepada orang yang berdoa, lalu mudaratnya menimpa dirinya sendiri. Ini kerana balasan terhadap kejahatan hanyalah setimpal dengannya, dan tidak dibenarkan melampaui batas melebihi kadar kezaliman yang diterima”.

Justeru, perlu adil dalam doa atau qunut nazilah kita supaya ia tidak kembali kepada diri kita semula. Terutama jika perbezaan politik sahaja.

Sudah banyak drama kita lihat. Hari ini lawan, esok kawan. Hari ini kahwin, esok cerai. Tiga tahun lepas talak 2, hari ini mula merisik semula setelah rindu kembali. Kelmarin ada yang jerit untuk orang TURUN, tiba-tiba yang menjerit pula yang TURUN. Demikianlah politik.

Moga kita berpada dalam berpolitik.

– Oleh Dr Rozaimi Ramle

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *