Henti Segera Buli Di Sekolah, Tempat Kerja – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perjumpaan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Ogos 2025 di Puspanitapuri, Putrajaya pada 18 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 18 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa jenayah buli di institusi pendidikan dan tempat kerja termasuk fasiliti kesihatan dihentikan segera.
Perdana Menteri merujuk beberapa kes semasa seperti kejadian menimpa pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir dan Wan Ahmad Faris di sebuah maahad tahfiz Kelantan serta kejadian buli seorang doktor pelatih sebuah hospital di Tawau, Sabah.
Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap insiden penderaan sama ada fizikal mahupun psikologi yang disifatkan merosakkan masyarakat.
“Saya harap budaya ini kita dapat dihentikan,” katanya berucap pada perjumpaan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Ogos 2025 di Puspanitapuri di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan segala siasatan membabitkan kejadian buli akan disiasat sebaiknya, meskipun dalam kes Zara berlaku kesilapan dan kelewatan siasatan.
“Tentunya ada beberapa kesilapan dalam proses siasatan, kelewatan dan sebagainya. Tapi percayalah, kita cuba atasi dengan sebaik mungkin.
“Saya, TPM (Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof) dan Saifudin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri) semua dah keluarkan kenyataan yang kita telah adakan mesyuarat di peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan diteruskan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
