Henti Main Sentimen ‘Parti Malaya’ Cuba Kelirukan Rakyat Sabah – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Rapat Umum dan Himpunan KEADILAN Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KOTA KINABALU, 26 Sep – Adalah tidak wajar kemasukan parti dari Semenanjung atau ‘Parti Malaya’ ke Sabah dijadikan isu bagi mengelirukan rakyat negeri ini sedangkan kerajaan pimpinannya mengutamakan keadilan dalam ibadah dalam segenap aspek kehidupan rakyat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menempelak sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen kenegerian itu sedangkan dalam masa sama Sabah menghadapi masalah yang wajib diperbaiki tanpa mengira dari mana bantuan dihulurkan termasuk daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ada yang cakap parti Malaya, apa parti Malaya, lebih banyak dibelanja di Sabah berbanding di tempat lain sebab Sabah menghadapi masalah, jadi kita kena ingat. Saya lihat tadi sekolah lantai pecah-pecah mesti bangunkan semula, ini dasar kita jaga kepentingan rakyat.
“Ada yang kata kita tak peduli rakyat Sabah, saya sangat tak setuju sentimen ini. Saya datang Sabah puluh tahun, sebagai Perdana Menteri dan sebelum ini Timbalan Perdana Menteri dan Ketua PKR, Pengerusi PH, ada balak saya minta, ada tanah saya minta?” katanya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak mahu ada sentimen dimainkan pihak tertentu yang menidakkan parti dari Semenanjung dalam politik negeri ini, menjelang PRN17.
Katanya, sebagai Perdana Menteri beliau memberi pertimbangan khas kepada Sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan sebagai bukti rakyat di kedua-dua negeri mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan Pusat.

Keadaan itu, katanya mengambil kira fakta bahawa kedua-dua negeri masih ketinggalan berbanding Semenanjung kerana merdeka menerusi pembentukan Malaysia pada 1963, berbanding Semenanjung yang sudah merdeka lebih awal pada 1957.
Kenyataan Anwar tersebut dipercayai membidas sentimen yang dimainkan pihak tertentu kononnya parti dari Semenanjung mahu menguasai Sabah sedangkan hakikatnya Sabah diabaikan kerajaan terdahulu.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), Anwar yang juga Pengerusi PH berkata pihaknya tetap bekerjasama dengan kedua-dua gabungan itu.
“Kita bekerjasama dengan BN dan kita juga bekerjasama dengan GRS. Itu yang kita beri perhatian pada ketika ini,” katanya.

Sebelum ini, Anwar sudah menjelaskan bahawa PH akan bekerjasama dengan BN dan GRS walaupun kedua-dua gabungan berkenaan tidak dapat menjalin kerjasama.
Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud sebelum ini menjelaskan rundingan tetap dijalankan dengan kedua-dua gabungan itu bagi menentukan kerusi yang akan ditandingi.
Difahamkan, menerusi rundingan dengan BN, PH dijangka mendapat kira-kira 30 daripada 73 kerusi, manakala rundingan dengan GRS hanya memperuntukkan 18 kerusi kepada PH.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
