Hasutan: Bekas Wartawan ‘Free Malaysia Today’ Ditahan

Rex Tan ditahan selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi menurut peguamnya pada 17 Januari 2026.
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Seorang bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan ditahan polis awal pagi ini susulan soalan kontroversi dalam satu wacana awam, Isnin lalu.
Tan, 31, yang meletak jawatan pagi semalam ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Peguamnya Rajsurian Pillai mengesahkan Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dengan siasatan difahamkan dikendali Bukit Aman.
Forum bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” itu menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.
Susulan kecaman meluas di media sosial, Tan tampil memohon maaf secara terbuka, menyifatkan soalannya ‘tidak disusun dengan baik’.
Dia juga mengakui gagal ‘mengambil kira kesesuaiannya dengan wacana itu’ serta dikemukakan tanpa pertimbangan mencukupi terhadap sensitiviti isu terbabit.
“Paling saya kesali tindakan menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Tan turut mengakui beliau gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripada seorang wartawan dan merayu orang ramai tidak menyerang FMT Media serta ahli keluarganya.
“Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan mengambil kira persoalan saya tidak menggunakan istilah “aparteid” dan tidak pernah bertujuan menyamakan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.
“Perkara ini telah saya jelaskan apabila saya diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan: “Saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Saya akui perbandingan sedemikian tidak masuk akal.”
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



