Israk Mikraj: Solat Asas Pembinaan Keadilan, Keharmonian Sejagat – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghuraikan kepentingan solat sebagai asas keadilan dan keharmonian sejagat sempena peristiwa agung Israk Mikraj pada 16 Januari 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Peristiwa agung Israk Mikraj yang dirai umat Islam mendimensikan solat bukan sekadar ibadah rutin biasa, tetapi juga sarat dengan makna serta dampak atau kesan mendalam kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, Rasulullah SAW menerima secara langsung perintah solat lima waktu sebagai satu ibadah yang penting dalam kehidupan setiap umat Islam.
Anwar turut merujuk pemikiran ulama besar Nusantara, Syeikh Daud Al-Fatani, dalam kitab klasik Munyatul Musolli yang membahaskan soal tatacara solat, selain menyentuh perihal siasah dan tatakelola yang baik.

“Dalam bab ‘Tatmim al-Fa’idah’, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadah solat, namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan.
“Keadilan adalah mengenai keseimbangan dan wujud secara beriringan dengan fenomena convivencia global, iaitu keadaan di mana masyarakat sejagat hidup bersama dalam budaya damai,” katanya.
Peringatan Anwar itu disampaikan sempena menyambut Israk Mikraj bagi tahun 1447 Hijrah hari ini.
Justeru, Anwar menegaskan menjadi kewajipan sama ada Muslim atau bukan Muslim, untuk berusaha ke arah mencapai matlamat bersama kemanusiaan supaya keadilan dapat dijajarkan pada tempat yang sepatutnya.
“Kita mesti memulakannya dengan hidup bersama-sama secara rukun dan damai serta menolak prasangka, stereotaip palsu dan momokan musuh-musuh yang direkayasa untuk menghancurkan keharmonian hidup kita.
“Pada masa sama, mesti tetap tawaduk dan rendah hati kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat.
“Bahkan jika kita mendapat jawapan sekalipun, kita tidak boleh terlalu gopoh dan tergesa-gesa menanggapinya sebagai penyelesaian yang tuntas,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
