Golongan Bujang Syukur Terima SARA RM100

Penyaluran SARA bagi kategori bujang hari ini amat membantu para penerima memanfaatkan bantuan sehingga RM100 menunggu hari gaji yang biasanya dibayar pada hujung bulan.
KOTA BHARU, 16 Jan – Penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi golongan bujang ternyata membantu mereka meringankan beban sementara menunggu tarikh pembayaran gaji sekitar hujung bulan ini.
Rata-rata mereka meluahkan rasa syukur kerana menerima bantuan terus yang dikreditkan dalam MyKad masing-masing tanpa perlu ‘pening’ kerana boleh dibelanjakan mengikut keperluan masing-masing.
Malah bantuan itu disifatkan sebagai ‘jangka hayat’ untuk berbelanja barangan keperluan asas termasuk penjagaan diri selain dapat membantu mengurangkan beban keluarga.

Pasar raya dan kedai runcit yang mengambil bahagian menjadi tumpuan mereka membeli keperluan asas setelah meneliti harga terbaik yang ditawarkan premis berkenaan.
Seorang penerima, Fatin Haniefah Mohd Rais, 29 dari Pengkalan Chepa berkata, bantuan yang diterima digunakan untuk mendapatkan makanan kering sebagai persediaan menjelang bulan Ramadan sekitar pertengahan Februari ini.
Sementara Mohd Azam bin Shaari, 35, beliau menyemak status kelayakannya dan setelah berjaya, ia dimanfaatkan untuk membeli barangan asas seperti tepung, telur, minyak masak dan beras bagi kegunaan keluarganya.
“Saya tinggal bersama ibu bapa dan adik-beradik. Bantuan ini sangat membantu dalam membeli barang makanan dan keperluan harian,” katanya.
Tambahnya, walaupun nilainya cuma RM100, bantuan tersebut dapat menampung perbelanjaan bulanannya sedikit sebanyak mengurangkan beban ibu bapanya.
“Walaupun RM100, ia tetap membawa perbezaan. Kalau seminggu belanja dalam RM250, sebahagiannya boleh ditampung dengan SARA. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada semua golongan,” katanya.
Sementara itu, penerima di Machang, Mohd Hisyam, 27, beliau menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan dapur dan mandian seperti minyak masak, mi segera dan syampu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Perkara tersebut juga dipersetujui Muhammad Danial yang berkata, bantuan itu sangat membantu terutama ketika menunggu gaji pada pertengahan atau hujung bulan.

Kerajaan mengumumkan seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima SARA Bulanan iaitu RM50 hingga RM100 berdasarkan dua kategori.
Bantuan membabitkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah.
Sementara itu Bantuan SARA RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas akan disalurkan pada 9 Februari nanti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


