Harmonikan Perpaduan Kaum, Hentikan Polemik Tidak Perlu

Andre Lai menggesa semua pihak agar mengharmonikan perpaduan dan menghentikan segera semua polemik tidak perlu yang menjurus kepada kegusaran awam di negara ini. Foto Andre Lai

PENDAPAT, 1 Apr – Bulan Ramadan tahun ini dirasakan amat meriah. Masakan tidak, saya sendiri atas kapasiti selaku Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju telah menjalankan banyak program menyantuni rakan-rakan beragama Islam dalam bentuk agihan sumbangan, edaran juadah berbuka puasa, majlis iftar dan moreh bersama komuniti di Wangsa Maju.

Tetapi tahun ini, negara dilanda insiden yang membawa implikasi perpecahan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Susulan daripada polemik stokin di KK Mart di awal Ramadan, kini meletupnya polemik istillah ’kafir’ di mana kali ini melibatkan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Ucapan beliau dalam satu ucapan telah disalahtafsir di luar konteks dan poster elektronik telah memutarbelit kenyataan beliau telah disebar luas, sehingga menimbulkan ketidaksenangan rakyat yang tidak memahaminya dari maksud sebenar.

Dalam bahasa Inggeris, perkataan ‘kafir’ diterjemahkan sebagai ’infidel’. Satu perkataan yang sering digunakan untuk mendefiniasikan mereka orang asal di zaman kolonisasi Eropah. Setalah beberapa ratus penjajahan, erti ’infidel’ telah bertukar untuk menyifatan mereka yang tidak mempercayai kewujudan tuhan.

Andre Lai menggesa semua pihak agar mengharmonikan perpaduan dan menghentikan segera semua polemik tidak perlu yang menjurus kepada kegusaran awam di negara ini. Foto Andre Lai

Oleh itu, isu definasi perkataan boleh bertukar mengikut zaman. Yang menjadi isu hari ini adalah sensitiviti sesetengah pelampau penunggang ketuanan yang ingin menetapkan penggunaan ‘eksklusif’ terhadap sesetengah perkataan.

Perkara ini tidak begitu ketara di zaman 80an. Sebagai seorang yang membesar bersama komuniti di Kampung Melayu Ampang dan Bukit Belacan, saya sedikit pun tidak merasa terasing dalam bab menyantuni masyarakat Melayu.

Saya masih ingat, semasa saya berada di sekolah rendah, kami terpaksa menumpang di kelas agama kerana kekurangan murid untuk kelas Pendidikan Moral. Dalam ingatan saya, ada murid-murid masa itu menggelarkan kami kafir.

Walaupun saya tidak mengetahui erti sepenuhnya pada masa itu, para ustaz dan ustazah tampil untuk membetulkan mereka dalam penggunaan perkataan agar tidak menyinggung perasaan.

Sepatutnya hari ini di zaman globalisasi yang mendedahkan manusia ke ilmu duniawi yang lebih terbuka lebih-lebih lagi di zaman media sosial sekarang, mereka lebih suka menambah provokasi apabila fitnah tersebar luas. Minda mereka tiba-tiba semakin menjadi sempit bagaikan ‘katak di bawah tempurung’.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjadi sasaran fitnah akibat permainan pihak tertentu yang ingin mengaut laba politik hingga membuat laporan polis atas ugutan yang diterima. Foto Arkib

Saya terkilan apabila melihat YB Menteri difitnah. Saya rasa adalah amat tidak berasas apabila para pelampau memutarbelitkan dan manipulasikan keadaan untuk melaga-lagakan hubungan sesama sendiri.

Hanya kerana sesetengah pihak meraih glamor dan laba politik, mereka sanggup mencetuskan ketidaktenteraman negara dengan menggunakan agama dan bangsa sebagai laras senjata?

Saya meskipun bukan beragama Islam, tetapi saya melihat polemik ini dari prespektif perpaduan negara kerana saya rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan menyeru kepada perpaduan dan kasih sayang sesama insan.

Namun saya ingin bertanya, di manakah agaknya para ilmuwan dan intelektual yang sepatutnya boleh mempertahankan beliau dan menerangkan konteks sebenar yang mudah difahami rakyat?

Adakah akidah mereka begitu rapuh sehingga boleh tergugat hanya kerana mereka terbaca poster di media sosial lantas terus mempercayainya tanpa menyelidik terlebih dahulu?

Hasil carian dalam Internet, saya membaca satu penjelasan yang baik daripada seorang mualaf yang juga artis tempatan iaitu Adam Corrie yang menerangkan definisi kafir dalam pemaham beliau.

Dalam Facebook beliau, mengatakan ”Saya lebih suka tidak mengulas secara ilmiah, kerana bukan bidang saya.

“Saya lebih suka memanggil mereka belum Islam / not yet muslim. Dengan mudah-mudahan Allah berikan taufik serta hidayah mereka yang masih mencari-cari kebenaran.” Kemudian, beliau mengatakan lebih suka menggunakan istillah ”mereka bukan muslim untuk tujuan dakwah”.

Fadhlina Lapor Polis Isu Fitnah Perkataan ‘Kafir’

Saya berharap kenyataan saya ini, tidak pula diputarbelit. Lihat dari sudut yang berbeza, mungkin kita boleh memahami sesetengah perkara dengan lebih positif. Malaysia tidak harus ada lagi insiden ‘bom molotov’ dibuang ke dalam kedai atau lebih teruk mencetuskan rusuhan antara kaum.

Malaysia MADANI dibentuk untuk mengharmonikan perpaduan. Polemik tidak perlu harus diberhentikan serta merta demi keharmonian semua.

  • Andre Lai mengulas isu perkataan kafir yang disalah tafsir di luar konteks. Pandangan beliau tidak mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *