Hari Malaysia 2025: PM Anwar Lakukan Kunjungan Hormat Ke Atas TYT Pulau Pinang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Ramli di Seri Mutiara, George Town, Pulau Pinang pada 16 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
GEORGE TOWN, 16 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, di Seri Mutiara di sini, sejurus pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar pagi tadi.
Ketibaan Perdana Menteri di kediaman rasmi TYT, Seri Mutiara, disambut oleh Ramli dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, sebelum dibawa melawat ke galeri mini.

Anwar juga menghadiri Majlis Santapan Tengah Hari dengan diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi sambutan tahun ini berdasarkan sistem penggiliran antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau turut menjemput Ramli untuk hadir secara rasmi sebagai tetamu utama ke Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, malam ini.
“Terima kasih TYT kerana menerima kunjungan hormat kami. Kami antara lain bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Perdana Menteri dijadual menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
