Hari Malaysia 2025: Lambang Tekad Perpaduan Dalam Kepelbagaian – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambutan pada setiap 16 September memperingatkan rakyat akan keberanian generasi terdahulu yang menolak penjajahan, menegakkan maruah serta membina sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 16 Sep – Hari Malaysia bukan sekadar memperingati detik bersejarah penyatuan wilayah berbeza latar dan budaya sebaliknya menjadi lambang tekad bangsa yang berpadu dalam kepelbagaian, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di pelantar media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, sambutan pada setiap 16 September memperingatkan rakyat akan keberanian generasi terdahulu yang menolak penjajahan, menegakkan maruah serta membina sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
“Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang membakar obor kebebasan. Walhasil, amanah yang dipikul kita hari ini adalah dalam memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan kita menempuh tantangan di era baharu,” katanya.
Perdana Menteri berkata kekuatan Malaysia berakar daripada rakyat yang menjunjung nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti selain didukung institusi kenegaraan serta pentadbiran yang berwibawa.
Beliau berkata kerencaman budaya dan kepelbagaian masyarakat perlu terus diraikan sebagai rahmat yang memperkukuh persaudaraan.
“Mari bersama kita menzahirkan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita murni, dan komited pada sebuah kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menjauhi perpecahan dan menjadikan negara ini contoh kepemimpinan yang berwibawa di rantau ini, dan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Anwar turut menegaskan Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai sebuah negara yang adil, makmur dan MADANI yang diwariskan kepada generasi akan datang sebagai negara bangsa yang teguh serta bermaruah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
