PM Anwar Salur RM2 Juta Hidupkan Kegiatan ‘Pendekar MADANI’

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan Pendekar MADANI di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 16 September 2025. Foto Danial Saad
BUKIT MERTAJAM, 16 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengurusan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru (IPG) seluruh negara menyokong dan menghidupkan penubuhan kegiatan ‘Pendekar MADANI’.
Ia adalah dalam usaha membolehkan institusi berkenaan melahirkan lebih ramai pesilat dalam kalangan belia sekali gus mengangkat martabat dan darjat bangsa.
Anwar berkata, beliau percaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat membantu menggerakkan kegiatan itu ke sekolah sebelum ia digerakkan ke IPT dan IPG sebagai satu kegiatan menyatukan semangat anak muda.
“Yang kita sebut negara MADANI dan kini pendekar MADANI, kita menghidupkan semangat yang sudah berjalan dan saya percaya Menteri Pendidikan akan gerakkan kegiatan ini.
“Pendekar MADANI masing-masing persatuan (silat) tak ada masalah bagi saya tetapi ada satu saluran utama. Kita adalah satu bangsa, satu budaya dan seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tapi untuk melatih anak bangsa kita dan kita akan pastikan semua sekolah-sekolah kita mendukung semangat pendekar MADANI ini.
“Dan seterusnya di Politeknik di Institut Pendidikan Guru (IPG), Pendidikan Tinggi (IPT), kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat, mengangkat martabat harkat dan darjat bangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI yang dihadiri lebih 10,000 pesilat di Kampus Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini, hari ini.
Dalam majlis itu, Anwar ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong ‘Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti’ oleh Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.
Pada program sama Anwar juga mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk tujuan menggerakkan kegiatan Pendekar MADANI bagi semua badan pertubuhan silat di negara ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, seni mempertahankan diri dapat memupuk sifat disiplin, beradab, berakhlak dan rasa saling hormat sesama bangsa.
“(Pesilat), orang yang kental semangatnya, orang yang disiplin, orang yang berakhlak mulia, yang benci dengan kezaliman, benci dengan penindasan serta benci dengan buli di kalangan kita.
“Hebatnya orang Melayu kerana semangat dan disiplin, tahu adab, tahu akhlak, tahu hormat sama-sama Melayu serta hormat pada bukan Melayu serta tahu menjaga negara ini dengan aman, adil dan bahagia bagi semua yang bukan menanam semangat untuk benci pada orang,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
