Hari Kedua Rakaman Percakapan Rafizi Lebih 9 Jam, Sambung Esok

Rafizi Ramli kelihatan sihat dan selamat ketika keluar dari bangunan SPRM selepas lebih 9 jam memberi keterangan pada hari kedua rakaman percakapan pada 5 Mei 2026.
PUTRAJAYA, 5 Mei – Hari kedua rakaman percakapan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli ternyata lebih panjang daripada hari pertama apabila sesi berkenaan berlangsung lebih sembilan jam.
Ia jauh lebih panjang berbanding lapan jam semalam yang dilaksanakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Bekas timbalan presiden KEADILAN itu dipanggil untuk membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Rafizi telah tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar pukul 10 pagi.
“Rakaman percakapan beliau pada hari kedua telah selesai kira-kira pukul 7 malam.
“Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari ketiga esok yang dijangka dibuat pada sebelah petang,” katanya.
Bagaimanapun, tidak seperti hari pertama, jumlah penyokong Ahli Parlimen Pandan itu jauh berkurangan dengan hanya beberapa ahli parlimen sahaja kelihatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
