Kurangkan Sewa Gerai, Persatuan Penjaja Sokong Saranan PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menikmati makan tengah hari sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, Rawang pada 1 Mei 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Keputusan Kerajaan MADANI untuk mengurangkan sewa premis perniagaan bermula dengan agensi kerajaan disambut baik oleh persatuan penjaja dan peniaga di seluruh negara, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
Menurut persatuan penjaja dalam satu kenyataan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dilihat tepat pada masanya susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat yang telah memberi kesan rantaian kepada harga barangan mentah, kos operasi harian dan bekalan bahan mentah.
Wakil persatuan itu menyifatkan, pengurangan sewa ini sebagai satu kelegaan besar kepada peniaga kecil dan sederhana yang selama ini berdepan tekanan peningkatan kos operasi.
“Dengan kadar sewa yang lebih rendah, peniaga dapat menyalurkan semula penjimatan tersebut kepada aspek penting lain seperti pembelian stok, penyelenggaraan perniagaan serta mengekalkan harga jualan agar kekal berpatutan kepada pengguna.
“Persatuan juga melihat inisiatif ini juga membantu memastikan kelangsungan perniagaan penjaja yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan. Ramai peniaga sebelum ini terpaksa mengehadkan operasi atau berdepan risiko gulung tikar akibat kos tetap yang tinggi.
“Justeru, langkah kerajaan ini bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi komuniti dalam jangka panjang,” kata kenyataan itu.
Mereka juga merayu campur tangan kerajaan mempermudah bantuan menyalurkan bahan mentah tanpa melalui orang tengah seperti penjualan terus daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kami berharap agar dasar ini dapat diperluaskan dan dilaksanakan secara konsisten di pelbagai peringkat, termasuk premis milik pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan lain.

”Kami juga menggesa agar lebih banyak insentif diperkenalkan bagi membantu peniaga menghadapi cabaran ekonomi global,” tambahnya.
Terdahulu, Anwar menerusi Sidang Media Krisis Tenaga Global mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang mengelola premis perniagaan diarahkan untuk menurunkan kadar sewaan berkuatkuasa bulan ini.
Anwar turut memuji negeri yang mengikuti langkah yang sama, seperti komitmen yang dizahirkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



