Guru Kena Tempelak Dengan Ibu Pelajar

LONDON, 17 Okt – Seorang ibu di United Kingdom (UK) menempelak tindakan guru yang didakwa memotong bulu mata palsu anak perempuannya dan kemudian menjadikan ia bahan lawak di sekolah.

Martina Cantor, 37, mendakwa tindakan melampau guru sekolah di Beckenham itu bukan hanya menjatuhkan air muka anaknya, Rhene bahkan menyebabkan remaja itu rendah diri.

“Guru tidak memaklumkan saya yang mereka tidak suka, atau meminta Rhene untuk mencabut bulu mata palsu itu apabila pulang ke rumah.

“Mereka terus menggunting ia dengan potongan yang tidak sekata… dekat dengan kelopak mata. Potongan di tengah-tengah pula paling besar,” katanya yang dilapor The Sun.

Ibu tiga anak itu memberitahu Rhene bergantung kepada bulu mata palsu kerana bulu mata aslinya ‘sangat minima’.

Remaja itu juga mengenakan bulu mata palsu yang tidak melebihi panjang bulu mata asli, namun disebabkan ia lentik di hujung, menyebabkan gurunya perasan.


“Rhenne berada pada usia di mana dia mencari identiti diri dan dia serta rakannya saling mencuba – ia trend baharu.

“Pelajar perempuan lain pun memakainya di sekolah, tetapi tiada tindakan,” dakwanya yang memberitahu Rhene diketawakan rakan sekelas selepas tindakan guru berkenaan.

Kes itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa Bromley yang memaklumkan sedang meneliti laporan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap sekolah terbabit memberitahu, pihaknya sudah memohon maaf kepada keluarga pelajar itu.

“Polisi seragam sekolah menetapkan pelajar tidak dibenar memakai mekap atau bulu mata palsu.

“Pendekatan ini, yang biasanya ditetapkan kebanyakan sekolah bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada tekanan rakan sebaya yang tidak perlu.

“Jadi, untuk keberkesanan, peraturan ini perlu dilaksana secara konsisten,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *