Bekas Ketua Polis Indonesia Dibicara Di Mahkamah

JAKARTA, 17 Okt – Perbicaraan bekas ketua polis Indonesia yang didakwa merancang pembunuhan pengawal peribadinya dimulakan hari ini di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Indonesia.

Kes terhadap bekas inspektor jeneral dan ketua hal ehwal dalam polis negara, Ferdy Sambo itu mencetuskan rasa tidak percaya terhadap pasukan polis.

Siasatan awal polis mengesyaki, pengawal peribadi, Nopryansyah Yosua Hutabarat, 27, terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan seorang lagi pegawai di kediaman Sambo pada 8 Julai lalu.

Keluarga mangsa mendakwa, terdapat tanda seksaan pada tubuh Yosua mendorong bedah siasat kedua terpaksa dijalankan, sekali gus menyanggah versi laporan polis.

Sambo yang dilepaskan pada Ogos lalu didakwa terbabit dengan pembunuhan terancang, yang mana jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Di mahkamah hari ini, seorang pendakwa raya mendakwa Sambo mengarahkan seorang pegawainya untuk menembak Yosua, sebelum melepaskan tembakan di bahagian kepala mangsa.

Kemudian, tembakan itu dilepaskan ke arah dinding untuk menunjukkan kononnya berlaku kejadian tembak-menembak.

Menurut pendakwa raya, motif kejadian dipercayai pengawal peribadi itu didakwa melakukan serangan seksual terhadap isteri Sambo.


Bagaimanapun, peguam Sambo enggan mengulas bagaimana anak guamnya membuat pengakuan.

Namun, pada sidang media minggu lalu, Sambo dikatakan mengarahkan supaya Yosua diserang dan bukannya ditembak.

Keseluruhannya, lima individu termasuk Sambo, isterinya, dua pegawai polis dan seorang pemandu berdepan pertuduhan terbabit pembunuhan terancang susulan kematian Yosua.

Menjelang perbicaraan, Ketua Polis Nasional Indonesia, Listyo Sigit Prabowo berkata, terdapat beberapa percubaan untuk memusnahkan bukti berhubung kes itu.

Dalam satu kenyataan pada 24 Ogos lalu, Prabowo dilaporkan berkata seramai 92 pegawai sedang disiasat dengan 35 anggota didakwa melakukan pelanggaran etika.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *