PRU-15 – Usah Termakan Janji Palsu Noh

SHAH ALAM, 17 Okt – Rakyat Selangor pasti tidak akan termakan dengan janji-janji Barisan Nasional (BN) yang merayu memberi peluang kepada parti itu untuk mentadbir negeri itu sekali lagi, dengan memberi mandat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Seorang penduduk yang enggan disiarkan namanya ketika ditemui berkata, janji Pengerusi BN Selangor, Noh Omar, kononnya peluang itu membolehkan BN menunjukkan kecemerlangan, yang pernah dilakukan ketika pemerintahan parti sebelum 2008, tidak akan dilaksanakan seperti mana yang dilakukan sejak 2021.
“Saya rasa kejayaan Pakatan Harapan (PH) lebih dibanggakan setelah memerintah selama tiga penggal, berbanding dengan ‘kejayaan’ dibawa BN untuk membangunkan negeri ini suatu ketika dahulu,” sindir beliau.
“Sebagai contoh, Yayasan Selangor yang saya lihat pada ketika ini lebih hebat prasarananya yang dilengkapi asrama dan kemudahan lain turut dinaik taraf, tidak seperti zaman BN memerintah sebelum 2008 yang terbiar, malah Universiti Selangor turut mendapat perhatian seluruh negara.
Selain itu, katanya, rizab kerajaan negeri meningkat sejak 2008 sehingga sekarang dan janji-janji Noh Omar sebagai bos Umno negeri tidak boleh dipakai.

Terdahulu, Noh berkata, pembangunan lain yang menjadi lambang kebanggaan di Selangor suatu ketika dahulu adalah Stadium Shah Alam, tetapi strukturnya perlu dibaik pulih.
Mengulas isu berkenaan, penduduk Shah Alam itu berkata, stadium kebanggan negeri Selangor itu memang memerlukan kerja-kerja naik taraf dan mengambil masa untuk dilaksanakan.
“Jadi tidak ada sebab bagi Noh untuk mempertikaikan apa yang kerajaan negeri lakukan kerana mereka di peringkat pusat pun berbalah sesama sendiri hingga menyebabkan Ismail Sabri terpaksa membubarkan parlimen.
“Noh sendiri perlu cermin diri apakah kemampuannya sebagai seorang menteri layak mengetuai jentera pentadbiran negeri dalam keadaan beliau sendiri tidak berupaya membantu perdana menteri hingga terpaksa meletakkan Tengku Zafrul sebagai ‘poster boy’, bukannya beliau sendiri,” tempelaknya bersungguh-sungguh.
Kerajaan PH terus mentadbir negeri ini biarpun pengkhianat telah keluar parti dan tidak mampu melantik seorang ketua pembangkang agak lama sejak tewas teruk pada PRU-14.
