GSF: PM Anwar Desak Laluan Kemanusiaan Ke Gaza Tidak Dihalang – PMO

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada 30 September 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 30 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya laluan kemasukan bantuan ke Gaza melalui misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak dihalang mana-mana pihak.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata ini kerana Anwar melihat sebarang halangan hanya akan menambah derita penduduk yang sudah pun berada dalam keadaan kritikal.
“Perdana Menteri menegaskan kerajaan bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong usaha kemanusiaan ini, selaras dengan prinsip solidariti dan keadilan yang menjadi asas Malaysia MADANI.

“Keberanian serta ketabahan aktivis yang membawa misi amanah ini amat dihargai kerana ia mencerminkan jiwa rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap penderitaan saudara kita di Gaza,” katanya melalui pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Pada masa sama, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri turut meminta rakyat Malaysia supaya terus bersatu hati mendoakan keselamatan serta menyalurkan sokongan berterusan kepada usaha kemanusiaan yang murni ini.
“Sebagai penaung kepada inisiatif kemanusiaan Sumud Nusantara yang kini giat melaksanakan misi bantuan ke Gaza, Perdana Menteri sentiasa memantau rapat perkembangan aktivis kemanusiaan dari negara kita yang kini memasuki zon kuning dan berisiko berdepan ancaman daripada Israel,” katanya.

Pelayaran GSF membabitkan penyertaan sukarelawan daripada 45 negara. Mereka membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza minggu ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.
Jam 7 petang esok waktu Malaysia menjadi detik kritikal konvoi yang bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
