’Geng Raqib’ Tumpas Bersama Barang Curi Dianggar RM96,000

Antara barangan yang dirampas semasa penahanan suspek yang kerugian dianggar berjumlah RM96,000.

KOTA KINABALU, 20 FebKegiatan kumpulan jenayah dikenali Geng Raqib yang melakukan sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini akhirnya berjaya ditumpaskan pasukan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, lima individu termasuk ketua kumpulan berkenaan yang aktif sejak pertengahan tahun lalu berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di Beaufort dan daerah ini.

Katanya, kejayaan menumpaskan Geng Raqib ini hasil risikan dan intipan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) JSJ Kontinjen Sabah sejak tahun lalu.

“Pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada 17 Februari lalu selepas rumah mangsa dipecah masuk dan kehilangan pelbagai barangan berharga membabitkan kerugian kira-kira RM96,000.

“Betindak dengan maklumat, pasukan operasi menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga lelaki kira-kira jam 7 pagi Isnin di sebuah rumah di Kampung Kekeru Kota Klias, Beaufort.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan, komputer riba, wang tunai, telefon bimbit dan set anak kunci,” katanya ketika dihubungi di sini.

Antara barangan yang dirampas semasa penahanan suspek yang kerugian dianggar berjumlah RM96,000.

Menurutnya, siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek berumur 33, 37 dan 39 tahun mendapati mereka terbabit dalam 17 kes pecah rumah di beberapa daerah di Sabah.

“Kes terbabit termasuklah 11 kes di Sandakan dua kes di Ranau, dan masing-masing satu kes di Penampang, Putatan, Inanam dan Kudat.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan berlegar-legar di perumahan mewah dan kawasan yang berpotensi untuk dipecah masuk.

“Suspek akan menekan lonceng rumah dan memberi salam bagi mengenal pasti sama ada rumah terbabit berpenghuni atau sebaliknya, sekiranya tiada jawapan, suspek akan memecah masuk lalu melarikan barangan berharga,” katanya.

Beliau berkata, selepas melakukan jenayah, suspek akan lari dan tinggal di sebuah rumah di Beaufort.

“Pemeriksaan mendapati ketua kumpulan ini mempunyai 21 kes jenayah iaitu pecah rumah, dadah dan curi.

“Dua dari suspek adalah warga tempatan manakala seorang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Melalui tangkapan ini, cawangan D9 JSJ IPK Sabah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Ranau, Sipitang dan Beaufort,” katanya.

Sementara itu, hasil siasatan lanjut pasukan operasi turut menahan dua individu berusia 26 dan 23 tahun di sekitar pusat bandar di sini.

“Kedua-dua suspek ini berperanan sebagai pembeli barang-barang yang dicuri oleh ketiga-tiga suspek terbabit.

“Soal siasat dan risikan lanjut masih diteruskan terhadap semua anggota kumpulan ini dan usaha mengesan rakan sejenayah yang lain sedang dijalankan,” katanya.

Tambahmya, semua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 26 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *