Gempa Bumi Lemah Segamat, Kluang: Apa Tindakan Kita?

Insiden siling jatuh ekoran gempa bumi lemah di Segamat dan Kluang menuntut semua pihak seperti NADMA dan MetMalaysia merangka strategi menangani ancaman selepas ini.

PENDAPAT, 24 Ogos – Kejadian gempa bumi lemah yang melanda Segamat dan Kluang hari ini memberi pengajaran besar kepada rakyat Malaysia bahawa bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.

Walaupun Malaysia bukan negara yang terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dan jarang mengalami gempa bumi besar, insiden tersebut membuktikan bahawa kita tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan geografi kini kerana gegaran boleh berlaku bila-bila masa.

Kesan gegaran kecil ini mengingatkan kita tentang pentingnya aspek kesiapsiagaan bencana dalam kehidupan seharian dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) boleh menjadi agensi utama melaksanakan pelan bersesuaian dalam tempoh terdekat.

Gegaran gempa lemah dengan magnitud 2.8 berlaku di barat laut Kluang pada jam 9 pagi 24 Ogos 2025.

Antara pengajaran utama ialah keperluan rakyat untuk lebih peka terhadap prosedur keselamatan ketika berdepan bencana yang tak pernah diduga terjadi kerana rupa-rupanya garis sesar Mersing menjadi punca kepada insiden awal pagi tadi.

Sudah pasti aspek pendidikan dan kesedaran mengenai langkah menyelamat diri semasa gempa bumi, seperti mencari tempat perlindungan yang selamat, mengelakkan panik, serta mendengar arahan pihak berkuasa adalah amat penting.

Di pihak kerajaan melalui agensi berkaitan seperti NADMA wajar memperkukuh sistem amaran awal serta melaksanakan latihan kecemasan secara berkala agar masyarakat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti mana yang dilakukan ketika banjir hujung tahun melanda negara.

Kejadian gempa bumi lemah yang melanda Segamat dan Kluang menuntut kita semua lebih berwaspada dan cakna dengan perkembangan semasa menerusi media sosial yang sahih.

Keperluan perancangan pembangunan yang mengambil kira faktor keselamatan struktur bangunan. Walaupun gegaran di Malaysia biasanya lemah, penggunaan teknologi binaan tahan gempa wajar dipertimbangkan terutama bagi projek besar dan kawasan berisiko.

Kesimpulannya, gempa bumi lemah di Segamat dan Kluang harus dilihat sebagai peringatan bahawa Malaysia juga tidak terkecuali daripada bencana alam termasuk di Semenanjung Malaysia. Amaran demi amaran boleh dilakukan dengan lebih kerap serta kesiapsiagaan juga boleh digerakkan dalam masa terdekat.

Amalan berjaga-jaga, kesedaran awam serta tindakan proaktif pihak berkuasa mampu mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *