PL: Gyokeres Hero Arsenal Benam Leeds

Penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres meraikan gol pasukannya dengan gaya tersendiri ketika menentang Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London pada 23 Ogos 2025. Foto Reuters

LONDON, 24 Ogos – Penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres menjaringkan dua gol sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris (PL) manakala pertahanan Jurrien Timber turut menyumbang dua gol ketika menang besar 5-0 ke atas Leeds United di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Namun kehilangan kapten Martin Odegaard dan pemain sayap Bukayo Saka susulan kecederaan sedikit merencatkan kegembiraan kemenangan kedua Arsenal pada musim baharu ini.

Selepas menewaskan Everton 1-0 pada aksi pembukaan minggu lalu, Leeds bermula dengan baik tetapi mula goyah apabila Timber meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-34 menerusi tandukan cantik hasil sepakan penjuru Declan Rice.

Penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres meraikan gol pasukannya dengan gaya tersendiri ketika menentang Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London pada 23 Ogos 2025. Foto Reuters

Timber kemudian mengumpan kepada Saka yang menyempurnakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama, menjadikan kedudukan 2-0 ketika rehat.

Ketika itu Odegaard sudah pun keluar padang kerana kecederaan, namun ketiadaannya hampir tidak dirasai apabila Arsenal mula menguasai permainan dan penyerang baharu mereka yang dibeli dengan harga mahal tampil menyerlah.

Gyokeres, yang menyertai Arsenal dari Sporting Lisbon bulan lalu dengan nilai awal £55 juta (RM314 juta) menurut media Britain, akhirnya memperoleh gol yang dinanti-nantikan apabila meledak jaringan tenang tiga minit selepas babak kedua bermula.

Dia menerima bola di bahagian kiri, menyelinap masuk ke dalam sebelum melakukan rembatan leret ke hujung gol.

Kehilangan Saka pada minit ke-53, yang mengambil alih lilitan ketua pasukan daripada Odegaard, segera dilupakan apabila Timber menambah gol keempat selepas kekalutan pertahanan Leeds gagal mengeluarkan bola berikutan sepakan penjuru.

Skuad dari Yorkshire itu berjuang dengan berani tetapi tumpul hampir di setiap posisi, membolehkan Arsenal menembusi tekanan mereka dengan mudah.

Dengan kemenangan sudah hampir pasti, pengurus Mikel Arteta memberikan penampilan sulung kepada pemain berusia 15 tahun, Max Dowman yang muncul pemain kedua termuda dalam sejarah EPL selepas Ethan Nwaneri, juga dari Arsenal.

Dowman membalas kepercayaan Arteta dengan memenangi sepakan penalti yang disempurnakan Gyokeres untuk menjadikan kedudukan 5-0.

Pada babak pertama, sepakan awal Gyokeres sedikit tersasar, menggambarkan tekanan yang dirasainya.

Namun selepas menjaringkan gol pada babak kedua, dia lebih tenang dan mula mempamerkan kualiti sebagai penyerang berbisa EPL.

“Saya rasa tekanan itu sentiasa ada, tetapi saya tahu lambat laun saya akan manfaatkan peluang. Hari ini saya sempurnakan dua peluang dan kami menang 5-0, jadi ia hari yang cukup hebat,” kata penyerang berusia 27 tahun itu sambil memberi amaran kepada pencabar lain.

“Kami ada begitu ramai pemain hebat di bahagian serangan dan bagi saya yang penting hanyalah berada di posisi yang tepat… Saya yakin kami akan dapat banyak peluang sepanjang musim ini.”


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *