Gaza: Ketua PBB Kecam Rejim Israel Jadikan Rakyat Palestin ‘Malapetaka’ Kebuluran

Orang ramai cuba mendapatkan beras daripada dapur amal yang menyediakan makanan di barat Kota Gaza pada 24 Ogos 2025. Foto AFP
HAMILTON, 30 Ogos – Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran mengenai akibat buruk tindakan ketenteraan Israel untuk mengambil alih Bandaraya Gaza, sambil mengingatkan krisis kemanusiaan yang semakin parah di wilayah itu.
“Langkah awal Israel untuk menguasai Bandaraya Gaza secara ketenteraan menandakan fasa baharu yang berbahaya,” kata Guterres di ibu pejabat PBB di New York, sambil memberi peringatan bahawa operasi ketenteraan yang diperluas akan membawa kesan yang amat dahsyat.
Beliau berkata, ratusan ribu penduduk awam yang sudah pun letih dan trauma akan dipaksa melarikan diri sekali lagi, menjerumuskan keluarga ke dalam bahaya lebih besar.

“Ini mesti dihentikan,” tegasnya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mengecam serangan Israel baru-baru ini, Guterres merujuk kepada serangan awal minggu ini di Hospital Nasser di Khan Younis.
“Satu serangan diikuti serangan lain, mengorbankan orang awam termasuk petugas perubatan dan wartawan yang melaksanakan tugas penting mereka. Serangan ini sebahagian daripada senarai kengerian yang tiada penghujungnya. Mesti ada akauntabiliti,” katanya.
Mengenai situasi kemanusiaan, beliau berkata: “Tahap kematian dan kemusnahan di Gaza tiada bandingan dalam tempoh kebelakangan ini.

“Kebuluran bukan lagi kemungkinan yang bakal berlaku; ia kini malapetaka semasa. Orang ramai sedang mati kelaparan. “Keluarga berpecah akibat perpindahan dan putus asa. Wanita hamil berdepan risiko yang tidak dapat dibayangkan,” katanya.
Beliau menegaskan sistem yang menyokong kehidupan termasuk makanan, air dan penjagaan kesihatan telah dilumpuhkan secara sistematik. “Inilah hakikat di lapangan,” katanya.
Guterres menggambarkan Gaza sebagai “bertimbun dengan runtuhan, bertimbun dengan mayat, dan bertimbun dengan contoh kemungkinan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
“Semua ini hasil keputusan yang disengajakan dan menentang nilai asas kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata Israel, sebagai kuasa pendudukan, mempunyai kewajipan jelas untuk memastikan penyediaan makanan, air, ubat-ubatan serta keperluan penting lain, selain memudahkan akses kemanusiaan yang lebih besar.
“Ia mesti melindungi orang awam serta infrastruktur awam. Dan ia mesti menghentikan kemusnahan perkara yang amat penting untuk kelangsungan hidup penduduk awam,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
