‘KL Peace Accord’ Saksi Peranan Malaysia Pusat Perdamaian Global

KL Peace Accord yang dimeterai antara Thailand dan Kemboja menyerlahkan Malaysia sebagai pusat perdamaian serantau dan global yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 26 Oktober 2025. Foto Reuters
PENDAPAT, 26 Okt – Seluruh dunia menyaksikan dua buah negara yang bertelagah sejak sekian lama kini mencapai persefahaman bagi menamatkan sengketa di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.
Penamatan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja hari ini yang berlanjutan berdekad lamanya menemui noktahnya menerusi majlis menandatangani perjanjian damai dikenali ‘Kuala Lumpur (KL) Peace Accord‘ atau Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL).
Sudah pasti seluruh negara ASEAN gembira dengan perjanjian bersejarah dimeterai antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

‘KL Peace Accord’ bukan sekadar perjanjian di atas kertas semata-mata malah menjadikan Malaysia kini diiktiraf secara rasmi sebagai pusat perdamaian serantau malah global disebabkan ketegasan dan kemampuan Anwar mengemudi peranan selaku Pengerusi ASEAN paling cemerlang setakat ini
Falsafah dan dukungan prinsip ASEAN yang menekankan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ juga menyumbang kepada kerangka luas menyelesaikan isu-isu melibatkan negara-negara anggota serta mekanisme rundingan dan permuafakatan juga membuahkan hasil memberangsangkan.

Dalam ucapannya sempena majlis berkenaan, Charnvirakul menyifatkan perjanjian damai itu detik bersejarah dalam hubungannya dengan Kemboja yang merintis penyelesaian konflik.
“Perjanjian damai ini mencerminkan keazaman kami untuk menyelesaikan perbezaan secara aman dan penuh hormat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah. Ia akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan pemulihan hubungan masyarakat di kawasan sempadan,” katanya.
Detik bersejarah yang dilakar di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu memberi makna tersendiri buat Charnvirakul yang menghargai peranan dimainkan Trump dan Anwar atas usaha dilakukan untuk menyelesaikan konflik membabitkan negaranya dan Kemboja itu.

“Hari ini kita mengambil langkah konkrit ke arah keamanan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN dan usahanya memelihara perpaduan serantau dan Presiden Trump atas dedikasi peribadinya terhadap usaha damai dua negara,” katanya.
Charnvirakul berkata, jika perjanjian damai tu dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menjadi asas kukuh kepada keamanan yang berkekalan dan langkah penting untuk memulakan proses memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.
“Komuniti di kawasan sempadan telah lama terpisah akibat konflik dan ramai penduduk tidak bersalah telah menanggung kerugian besar.

“Deklarasi ini meletakkan tanggungjawab besar kepada kedua-dua pihak untuk bertindak demi rakyat kita. Saya percaya kita mampu mencapai sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil dilaksanakan beberapa bulan lalu,” katanya.
Charnvirakul berkata kedua-dua negara akan mula melaksanakan tiga perkara utama yang dipersetujui, khususnya berkaitan langkah keselamatan di kawasan sempadan.
“Langkah ini termasuk menjamin keselamatan rakyat, membina keyakinan dan kepercayaan bersama serta pembebasan 18 tahanan warga Kemboja oleh Thailand.

“Tindakan ini akan membantu memulihkan kehidupan dan melindungi kesejahteraan komuniti di sepanjang sempadan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Manet berkata Kemboja akan memberi komitmen teguh untuk melaksanakan sepenuhnya semua deklarasi bersama yang ditandatangani dengan Thailand.
“Tidak kira betapa sukar atau rumit sesuatu pertikaian itu, ia mesti diselesaikan secara aman. Komander kedua-dua negara sedang berbincang mengenai kemungkinan pengunduran berperingkat di kawasan sempadan, sebagai tanda kesediaan awal melaksanakan isi kandungan perjanjian damai itu.

“Ini bukti kesungguhan kami untuk melaksanakan deklarasi bersama dengan segera,” katanya.
Manet turut menyatakan harapan agar pembebasan segera askar Kemboja yang menjadi tahanan konflik dapat dilakukan atas dasar kemanusiaan seperti dipersetujui dalam deklarasi itu.
“Saya amat berharap agar pembebasan segera askar-askar kami yang menjadi mangsa konflik dapat dilaksanakan atas dasar kemanusiaan seperti dipersetujui bersama,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap usaha diplomasi yang membawa kepada kejayaan perjanjian damai ini, Manet turut mencalonkan Trump, untuk Anugerah Nobel Keamanan, sebagai pengiktirafan terhadap peranannya dalam memudah cara proses perdamaian bukan sahaja antara Kemboja dan Thailand, tetapi juga antara negara lain.
“Sebagai pengiktirafan atas usaha gigih Presiden Trump mempromosi keamanan, bukan sahaja antara Kemboja dan Thailand, tetapi juga di seluruh dunia, saya dengan penuh rasa terima kasih menamakan beliau untuk menerima Anugerah Nobel Keamanan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
