Gagal Patuh Prosedur Simpanan, Polis Marin Rampas Makanan Sejuk Beku

Hasil serbuan Polis Marin, KKM dan JPV, sebanyak 971 kotak makanan sejuk beku pelbagai jenama dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Kota Marudu. Foto Polis Marin Wilayah 4

KOTA MARUDU, 19 Sep – Hasil serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas 2,971 kotak makanan sejuk beku pelbagai jenama di sebuah premis di sini.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, semua bahan makanan berkenaan yang dipercayai gagal mematuhi prosedur dan syarat penyimpanan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM656,197.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sebanyak 971 kotak makanan sejuk beku pelbagai jenama dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Kota Marudu. Foto Polis Marin Wilayah 4

Menurutnya, premis berkenaan dipercayai tidak mematuhi syarat penyimpanan makanan sejuk beku mengikut Akta Makanan 1983 dan Enakmen Haiwan 2015.

“Seorang lelaki berusia 70 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pengimportan dan penyimpanan makanan sejuk beku.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati semua barangan yang dirampas diimport dari negara tidak diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Makanan 1983 dan Enakmen Haiwan 2015.

Nazri menegaskan PPM Wilayah 4 sentiasa komited membanteras kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan makanan serta kesejahteraan negara.

Katanya, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa dalam membendung aktiviti penyeludupan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *