G20: PM Anwar Santuni Diaspora Malaysia Di Afrika Selatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan satu pertemuan dengan komuniti diaspora Malaysia di Afrika Selatan di Johannesburg pada 21 November 2025. Foto PMO
JOHANNESBURG, 22 Nov – Biarpun terpisah beribu batu, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah melupakan mereka yang berada di Afrika Selatan selaku ‘duta kecil’ negara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara itu.
Menghargai sumbangan mereka itu, Perdana Menteri mengadakan satu pertemuan dengan komuniti diaspora Malaysia di sini semalam, dengan menekankan kepentingan memupuk hubungan erat dengan warga Malaysia yang berada di luar negara.

Anwar berkata, meskipun jauh dari tanah air, semangat dan kehangatan komuniti Malaysia di rantau itu terasa, seperti berkumpul di Kuala Lumpur.
Ujarnya, diaspora turut berkongsi cabaran, peluang dan pengalaman yang membentuk kekuatan serta perpaduan komuniti Malaysia di rantau itu.

“Saya ambil kesempatan untuk bersyarah mengenai komitmen Kerajaan MADANI untuk terus merapat serta menyemarak hubungan dengan warga Malaysia yang berada di luar negara dengan memastikan mereka sentiasa terhubung dengan tanah air, dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada nadi dan roh pembangunan bangsa.
“Saya juga berkongsi matlamat negara dalam kunjungan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya, di mana ia tidak hanya berkisar soal ekonomi dan pelaburan semata, tetapi juga cita besar memetakan Malaysia di persada nilai dan prinsip-prinsip kemanusiaan yang kita kongsi bersama.

“Dan betapa sejarah derita yang panjang benua Afrika mesti ditelaah dan digarap sebagai usaha dan upaya melonjak ketumbukan yang berpaksi pada multilateralisme dan keadilan,” ujarnya di laman sosial hari ini.
Anwar melahirkan kekaguman terhadap kecintaan dan dedikasi komuniti diaspora terhadap Malaysia, dengan menyifatkan mereka sebagai duta tidak rasmi yang membantu memperkukuh reputasi dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri berharap hubungan erat itu terus diperkukuh demi kepentingan rakyat Malaysia dan negara secara keseluruhan.
Anwar kini berada di sini atas tetamu Pengerusi G20, Presiden Matamela Cyril Ramaphosa sejak tiba pada 20 November lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
