FFC x TMTG: Malaysia Hargai Bantuan Turkiye Bantu Aktivis Malaysia

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir menyambut sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi pelayaran pelayaran Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di KLIA pada 12 Oktober 2025. Foto Zayan
SEPANG, 12 Okt – Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Turkiye atas kerjasama erat yang telah diberikan, yang membolehkan proses membawa pulang sembilan orang sukarelawan Malaysia hari ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Kementerian Luar Negara berkata Kerajaan Malaysia juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada negara-negara sahabat atas kerjasama diplomasi yang dihulurkan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan juga telah banyak membantu memudah cara urusan sukarelawan semasa berada di Istanbul juga jelas mencerminkan kesediaan pegawai Kerajaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Proses membawa pulang sembilan orang sukarelawan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam Kerangka Malaysia MADANI.
Sementara itu, Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan atas usaha membantu kepulangan semua aktivis termasuk rundingan dengan pihak Turkiye bagi membenarkan penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul sebagai laluan pulang dari Israel.
“Perjuangan membebaskan Palestin tidak akan berhenti setakat ini, ia akan diteruskan dalam pelbagai bentuk solidariti.

“Misi ini tidak perlu sampai ke Gaza untuk berjaya. Ketika dunia mula memerhati dan kita semua resah tentang nasib rakyat Gaza, objektif misi ini sudah tercapai.
“Israel boleh menahan kapal dan memenjarakan aktivis kita, namun gelombang flotilla ke Gaza akan terus berlayar dan tidak meruntuhkan semangat solidariti semua,” katanya kepada media di sidang media di balai Ketibaan Domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Terdahulu, kesemua sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotila Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) tiba di terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 4 petang.
Aktivis berkenaan disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan beberapa Menteri dan Timbalan Menteri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
