Terbuka Artik: Kejuaraan Pearly-Thinaah Gagal Disambung Aaron-Wooi Yik

Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul naib juara Terbuka Artik selepas tewas pada aksi akhir kepada beregu England di Vantaa, Finland pada 12 Oktober 2025. Foto Reuters
VANTAA, 12 Okt – Hasrat menyaksikan wakil Malaysia merangkul kejuaraan berganda selepas kemenangan Pearly Tan-M Thinaah di Terbuka Artik tidak kesampaian selepas beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tewas dalam aksi akhir di sini, sebentar tadi.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur apabila tunduk kepada gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy, 18-21, 27-25, 17-21 dalam pertarungan mendebarkan yang berlanjutan selama 76 minit di Arena Energia di sini.

Selepas tewas set pertama, Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia bangkit dengan penuh semangat untuk memenangi set kedua yang berlangsung penuh dramatik.
Kedua-dua pasangan saling berbalas mata sejak awal permainan sebelum aksi semakin rancak apabila mereka terus berentap sengit hingga memaksa deuce.
Pertukaran mata berterusan menyaksikan ketenangan Aaron-Wooi Yik menyerap tekanan akhirnya membolehkan mereka menoktahkan kemenangan 27-25.
Namun, momentum itu gagal diteruskan apabila gandingan England yang menghuni ranking ke-15 dunia kembali mengawal permainan pada set penentuan dan menamatkan saingan dengan kemenangan 21-17 sekali gus merangkul gelaran juara.
Kekalahan itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas buat kali kedua kepada lawan sama musim ini selepas dikecewakan di Terbuka Hong Kong, bulan lalu.
Ia sekali gus menafikan peluang mereka meraih gelaran ketiga Jelajah Dunia BWF tahun ini selepas menjulang kejuaraan Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Beregu utama negara itu akan kembali mengatur langkah menghadapi Terbuka Denmark yang membuka tirai Selasa ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

