Enam Sekeluarga Terjun Tingkap Selamatkan Diri

Empat rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Baru, Menggatal, Kota Kinabalu. Foto JBPM
KOTA KINABALU, 14 Feb – Enam sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia lapan tahun terpaksa terjun menerusi tingkap untuk menyelamatkan diri apabila rumah mereka terbakar di Kampung Muhibbah Baru, Menggatal, di sini, malam tadi.
Suliani Aidi, 28, berkata, ketika kejadian 9.50 malam itu, dia bersama suami dan anak perempuan berusia lapan tahun tidur di bilik rumahnya.
“Saya terjaga selepas terdengar letupan sebelum ibu dan dua ahli keluarga lain memberitahu rumah sebelah terbakar. Suami kemudian membuka pintu rumah lalu api marak dan pantas merebak di depan rumah.
“Suami cuba memadam api namun gagal sebelum kami terjun dari tingkap rumah setinggi tiga meter dari tanah untuk selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, mereka sekeluarga sekali lagi berdepan kesukaran apabila terpaksa menyeberangi parit besar untuk ke kawasan selamat.

“Syukur semua kami selamat walaupun semua harta benda musnah terbakar.
“Hanya dokumen penting yang kami dapat selamatkan selain baju yang kami pakai sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kiniremmy Zikol@Lupi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 9.57 malam.
Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan empat rumah yang musnah sepenuhnya. Operasi pemadaman kebakaran terkawal pada 11.15 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 12.28 tengah malam,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
