Serangan Israel Ke Atas Doha Tindakan Pencerobohan Biadab – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu turut menjadi pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa selain membahayakan nyawa orang awam. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 10 Sep – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, yang disifatkan sebagai tindakan pencerobohan biadab serta pelanggaran secara terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu turut menjadi pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa selain membahayakan nyawa orang awam.
“Tindakan agresif yang tidak berperikemanusiaan ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pencabulan serius undang-undang antarabangsa.

“Ia membahayakan nyawa orang awam, menyasarkan sebuah ibu kota berdaulat, dan mengancam untuk memburukkan lagi keadaan serantau yang sedia rapuh, ” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar menegaskan, dengan menyasarkan Qatar sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam usaha perdamaian dan dialog di Timur Tengah, Israel telah menunjukkan sikap tidak menghormati keamanan dan diplomasi.
“Malaysia berdiri teguh menyatakan solidariti bersama Qatar dan menyeru masyarakat antarabangsa supaya memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakan agresif yang keterlaluan ini,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas serangan berkenaan yang disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
