Enam Beranak Lemas Dalam Insiden Kereta Terjunam Ke Dasar Sungai Korok

Keadaan menyayat hati apabila mangsa enam sekeluarga ditemukan dari dasar Sungai Korok apabila kereta terjunam ke dasar sungai pada 7 Julai 2025. Foto Shahir Noordin

ALOR SETAR, 7 Jul – Enam beranak yang dikhuatiri hilang sejak Sabtu lalu ditemukan maut dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam dalam Sungai Korok, hari ini.

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun.

Pada masa ini operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jitra.

Ahli keluarga yang berada di lokasi dilihat menangis ketika jasad mangsa diangkat seorang demi seorang.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita membuat laporan polis selepas abang, kakak ipar serta empat anak mereka gagal dikesan sejak Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumahnya di Taman Aman, dekat sini.

Mayat enam sekeluarga dibawa keluar dari lokasi nahas kereta terjunam ke dalam Sungai Korok pada 7 Julai 2025.

Nur Adliah Shuhada Ishak, 20-an berkata abangnya Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, yang menetap di Jerlun datang bermalam di rumahnya Jumaat lalu bersama isteri dan empat anaknya.

Katanya, mereka selalu datang bermalam di rumahnya dan biasanya pulang pada awal pagi sebelum abangnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan itu masuk kerja.

Semalam, Adliah berkata, enam beranak itu didapati tiada di rumahnya kira-kira jam 5.30 pagi dan disangka mereka sudah pulang ke Jerlun di mana Mohd Azim Ezzat tinggal bersama mentua.

“Abang ada lima anak tetapi kali ini, anak sulung perempuan berusia 12 tahun tidak ikut dan tinggal di rumah neneknya di Jerlun.

Anggota bomba mengeluarkan kereta yang terjunam ke dasar Sungai Korok selepas mengeluarkan enam sekeluarga yang maut dalam kejadian pada 7 Julai 2025.

“Malam kelmarin, kami bersembang macam biasa saja. Abang dan kakak ipar tidak pernah bercerita pula sama ada mereka ada masalah atau tidak.

“Pada mulanya, saya menyangka mereka sudah balik ke Jerlun tetapi ibu mentua abang menelefon saya memberitahu mereka tidak sampai menyebabkan saya bimbang akan keselamatan mereka,” katanya.

Nur Adliah Shuhada memaklumkan bahawa Mohd Azim Ezzat sepatutnya masuk kerja pada pagi kelmarin, manakala isterinya pula berniaga.

“Pagi tadi (semalam), ada orang menghubungi saya dan beritahu terdapat sebuah kereta Proton Saga ditemui dalam Sungai Korok. Saya terus bergegas ke tempat kejadian bersama beberapa ahli keluarga yang lain.

“Setiba di sana, kami dapati nombor pendaftaran kereta yang ditemui dalam sungai itu tidak sama dengan kereta abang,” katanya sambil menjelaskan bahawa abang dan kakak iparnya tidak pernah gagal dikesan sebelum ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *