Mengintip dan Menyebar Aib: Politik Kotor yang Mengkhianati Maruah Demokrasi

Mengintip dan menyebarkan aib bukan sahaja mencederakan individu, malah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap politik dan sistem demokrasi.

PENDAPAT, 7 Jul – Saya menulis ini bukan sekadar sebagai seorang ahli politik, tetapi juga sebagai seorang manusia yang pernah merasai sendiri peritnya dikhianati melalui pencerobohan ruang peribadi.

Hari ini, politik kotor semakin menjadi-jadi, sehingga sanggup menggunakan taktik mengintip, mencuri perbualan peribadi, dan menyebarkan aib demi mempertahankan kuasa.

Kita tidak boleh lupa bagaimana skandal Watergate di Amerika Syarikat pada tahun 1970-an membuka mata dunia. Ia bukan sekadar pencerobohan fizikal ke pejabat parti lawan, tetapi juga pencerobohan maruah peribadi. Perbualan sulit dicuri, maklumat peribadi disebarkan, hingga akhirnya Presiden Nixon tersungkur. Negara itu menanggung malu besar di mata dunia, dan demokrasi mereka tercedera.

Perbualan sulit dicuri, maklumat peribadi disebarkan, hingga akhirnya Presiden Nixon tersungkur dan negara itu menanggung malu besar di mata dunia, dan demokrasi mereka tercedera.

Di Thailand pula, kita menyaksikan bagaimana Paetongtarn Shinawatra dilucutkan jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu akibat perbualan peribadi yang disebarkan ke media. Peristiwa ini membuka mata ramai bahawa pemimpin yang sanggup mengintip dan menyebarkan maklumat peribadi adalah pemimpin yang sudah hilang keyakinan terhadap rakyat — dan terhadap dirinya sendiri.

Di Malaysia, kita juga tidak terlepas daripada budaya sebegini. Kita pernah melihat bagaimana rakaman peribadi — sama ada audio, video, atau mesej peribadi — dijadikan senjata untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan reputasi seseorang. Saya sendiri tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.

Saya memahami betapa dalamnya luka apabila ruang peribadi diceroboh dan dimanipulasi demi kepentingan politik sempit.

Dalam perjuangan Reformasi, kita tidak pernah mendidik ahli untuk menang dengan cara kotor. Kita tidak pernah mengajar bahawa kuasa mesti dipertahankan dengan mempergunakan aib orang lain. Malaysia Madani yang kita impikan bukan sekadar slogan, tetapi visi membina sebuah negara yang berteraskan maruah, integriti, dan keadilan.

Mengintip dan menyebarkan aib bukan sahaja mencederakan individu, malah merosakkan kepercayaan rakyat terhadap politik dan sistem demokrasi. Budaya ini menanam rasa takut, mewujudkan politik kebencian, dan menafikan ruang perdebatan sihat yang sepatutnya menjadi asas demokrasi.

Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati apabila menerima atau melihat video, rakaman, atau mesej peribadi yang tular. Kita mesti belajar menilai dengan matang: siapakah yang untung? Apakah niat sebenar di sebalik penyebaran itu? Adakah ia untuk membunuh watak seseorang (character assassination)? Atau sekadar untuk menanam kebencian dalam kalangan rakyat?

Jangan biarkan diri kita dipergunakan untuk menyebarkan fitnah. Jangan biarkan kita menjadi alat kepada permainan politik kotor yang tidak berprinsip.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra antara mangsa pengintipan yang berlaku di negaranya hingga disiasat Mahkamah Perlembagaan dan digantung tugas sementara.

Sebagai seorang yang pernah melalui pengalaman pahit ini, saya menyeru kepada semua pemimpin — kembalilah kepada prinsip asas. Hormatilah maruah manusia, walau berbeza pandangan politik. Rakyat tidak memilih kita untuk bermain politik kotor, tetapi untuk membawa solusi, membina masa depan, dan menjaga amanah dengan penuh integriti.

Kepada rakyat, marilah kita sama-sama menolak politik fitnah dan politik intip. Politik yang matang dan bermaruah hanya wujud apabila kita mendidik masyarakat untuk menilai kebenaran, bukan sekadar menelan sensasi.

Akhirnya, kuasa datang dan pergi. Namun maruah dan integriti akan kekal menjadi cermin siapa kita yang sebenar. Jika kita benar-benar mahu melihat Malaysia Madani menjadi kenyataan, kita mesti berani menegakkan kebenaran dan memelihara maruah.

Kerana pada akhirnya, harga maruah itu jauh lebih mahal daripada apa jua kedudukan yang kita kejar.

LAI CHEN HENG
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *