Empat Suspek Pecah Masuk Rumah Ibadat Di Bintulu Diberkas

Antara barang-barang dan kenderaan yang dirampas daripada suspek dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Bintulu. Foto PDRM
BINTULU, 28 Mac – Empat lelaki tempatan berusia 36 hingga 41 tahun telah diberkas di sebuah rumah tidak bernombor di Bintulu pada Isnin lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk rumah ibadat di Bintulu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu telah melancarkan Ops Pintu dan berjaya menangkap empat suspek terbabit.
Katanya, pihak polis berjaya merampas semula barang-barang yang dilaporkan hilang iaitu dua unit televisyen dan satu unit tong gas daripada suspek, selain parang sepanjang 17 sentimeter, sebuah kenderaan dan pakaian.
“Jumlah nilai rampasan lebih kurang RM8,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah menaiki kenderaan mencari sasaran ke atas premis yang tidak berpenghuni.
Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 14 rekod berkaitan jenayah dan sembilan rekod berkaitan penyalahgunaan Dadah.
Tambahnya, suspek mula dikesan bergiat aktif semula dalam kegiatan itu sejak pertengahan bulan ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua suspek masih dalam tahanan reman polis dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat, ” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara hingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu katanya, pada 25 Mac, sebuah rumah ibadat dilaporkan telah dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali.
“Penelitian pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan dua lelaki telah memasuki kawasan tersebut dan salah seorang suspek bersenjata,” katanya.
Nixon berkata, tangkapan ini merupakan usaha polis dalam mengekang jenayah pecah masuk rumah ibadat dari terus berleluasa di bahagian ini sekali gus orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304 atau Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
