Elak Pembakaran Terbuka, Bantu JBPM Atasi Kebakaran Semasa Kemarau – Abdul Jalil Bujang

Ketua Cabang KEADILAN Mukah, Abdul Jalil Bujang menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim kemarau ini.

KUCHING, 30 Mac – Kebakaran hutan yang berlaku termasuk di beberapa kawasan di negeri mampu dielak sekiranya orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya terutama ketika cuaca panas yang melanda seluruh negara ketika ini.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Mukah Abdul Jalil Bujang berkata, situasi cuaca panas dan kering sudah pastinya akan meningkatkan risiko kebakaran sekiranya aktiviti tidak bertanggungjawab termasuk melakukan pembakaran terbuka tidak dikawal.

Beliau yang juga bekas calon KEADILAN Mukah berkata, apabila taburan hujan berkurangan, sudah pasti suhu akan meningkat menjadi panas dan boleh menyebabkan berlaku lebih banyak kebakaran atau pembentukan jerebu.

“Saya berpandangan biarpun negara berhadapan dengan suasana kemarau, kita harus bersikap berhati-hati sepanjang masa serta mengelakkan daripada membuat pembakaran di kawasan secara terbuka bagi mengurangkan risiko kebakaran yang tidak dapat dikawal,” katanya.

Ketua Cabang KEADILAN Mukah, Abdul Jalil Bujang menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim kemarau ini.

Beliau diminta mengulas trend kebakaran yang meningkat kebelakangan ini termasuk di Miri, Baram, Selangau dan Sri Aman.

Tambah Abdul Jalil, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam membantu mengawal kebakaran di kawasan masing-masing.

Pada masa sama katanya, mereka perlu minum air secukupnya dan kurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan terdedah dengan cuaca panas yang boleh mengundang strok haba.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *