Elak Kena Cekup Dengan AADK, Motosikal Terbabas Masuk Longkang

Kehadiran pegawai AADK menyebabkan situasi kelam-kabut hingga menyebabkan motosikal yang dinaiki terbabas ke dalam longkang. Foto hiasan

KOTA BHARU, 27 Ogos – Kehadiran pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana di Kampung Perol, di sini, jam 1 awal pagi tadi mencetuskan panik apabila sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki terbabas ke dalam longkang selepas terkejut dengan kehadiran mereka.

Dua suspek masing-masing berusia 36 dan 37 tahun itu mengakui baru sahaja pulang daripada membeli air ketum.

Lelaki berusia 37 tahun yang masih dalam pemantauan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jerantut, Pahang, berkata air ketum berkenaan diambil sekadar ‘suka-suka’ dan membuatnya ketagih.

“Kami terkejut apabila ditahan secara tiba-tiba dan cuba lari namun motosikal hilang kawalan sehingga memasuki longkang rumah penduduk.

“Air ketum tidak sempat dibuang kerana anggota pantas buat serbuan. Kami baru bancuh air ketum dengan air karbonat berperisa bagi menghilangkan rasa pahit.

“Sebelum ini, saya pernah ditahan pihak berkuasa kerana mengambil pil kuda. Sukar mahu tinggalkan kerana sudah berasa ketagih,” katanya yang bekerja sebagai buruh,

Seorang lagi suspek berkata dia mengambil air ketum sebanyak tiga kali seminggu daripada pembekal yang ada di kampung berkenaan dengan harga RM10 sebotol.

Sementara itu, dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 54 tahun ditahan dalam keadaan ‘lalok’ di kediamannya, disyaki di bawah pengaruh bahan terlarang.

Dia mendakwa mengambil air ketum sebagai ‘ubat’ malah dia terpaksa dipimpin ke kenderaan untuk dibawa ke Pejabat AADK Kota Bharu bagi tujuan saringan air kencing.

Operasi Perdana AADK yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam sehingga 7 pagi itu, di sekitar Kota Bharu membawa kepada penahanan 71 suspek.

Seramai 40 anggota dan 10 pegawai AADK terbabit dalam operasi berkenaan yang tamat awal pagi.

– Oleh Syaherah Mustafa

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *